Alasan Along, jika boleh dia mahu wanita yang dikahwininya kelak mampu memenangi hati anak tunggalnya Ahmad Danial yang kini berusia lapan tahun.

Bagaimanapun, selepas tiga tahun bercerai dengan bekas isterinya Zila Seeron, pemilik nama sebenar Muhammad Nizamudin Ahmad, 36, itu berkata, kehidupannya kini semakin tenang dan fokus lebih terarah bagi memastikan emosi dan pendidikan anaknya, Ahmad Danial, 7, terjaga.

Ikuti temu bual bersama pelakon itu ketika ditemui pada majlis malam gala filem Tiada Tajuk di MMCineplexes, eCurve, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

KOSMO!: Dalam filem Tiada Tajuk, anda memegang watak Kuswadi iaitu seorang lelaki lembut. Difahamkan anda sebenarnya enggan membawa watak sebegitu, boleh terangkan?

ALONG CHAM: Suatu ketika dahulu ketika membuat persembahan pentas, saya pernah membawakan watak lelaki lembut. Akibatnya, saya menerima kecaman hebat daripada orang ramai yang beranggapan golongan pelawak menggunakan jalan mudah untuk buat orang gelak dengan memegang watak sebegitu. Sebab itu saya bimbang apabila watak Kuswadi dipotret sebegitu rupa.

Tetapi Mawi pujuk saya dengan berkata, apabila kita buat sesuatu perkara yang boleh membawa manfaat maka penerimaan masyarakat akan jadi berbeza. Sebab itu sepanjang penggambaran, saya minta bantuan Mawi supaya pandu saya membawakan watak itu agar tidak tersasar daripada apa yang dia mahukan.

Jika diberikan watak sebegini lagi pada masa hadapan, bagaimana pula?

Kalau diberi lagi, tidak mungkin saya akan terimanya. Cuma jika watak Kuswadi disambung dalam sekuel Tiada Tajuk selepas ini, itu perkara yang saya tidak boleh elak.

Bagaimanakah kehidupan peribadi anda sekarang. Khabarnya sudah bertemu pengganti?

Pengganti memang ada tetapi pelengkap yang sebenar-sebenarnya belum ditemui. Saya masih belum bertemu pelengkap yang boleh saya letakkan pada satu tempat yang pasti.

Sebab fokus saya sekarang cuma anak. Dahulu saya masukkan dia ke sekolah antarabangsa tetapi bab agama pula dia terlepas. Kemudian saya tukarkan dia ke madrasah supaya dapat belajar ilmu agama. Pendidikan dan masa depannya adalah fokus utama saya. Jika saya mahu cari pengganti, wanita itu bukan sahaja boleh jaga anak saya dengan baik.

Selain daripada itu, apakah perkara yang anda tekankan sebelum menerima kehadiran orang baharu?

Untuk menjalin kehidupan berumah tangga buat kali kedua bukan mudah sebab saya fikir bolehkah dia menerima saya dan anak. Pada saya, biarlah wanita itu berjaya menangi hati anak terlebih dahulu.

Bagaimanakah hubungan anda dengan bekas isteri memandangkan anak dijaga oleh anda?

Kalau dahulu saya mengaku berasa bimbang setiap kali bekas isteri mahu datang bertemu anak. Cuma lama-kelamaan saya bersihkan hati dan fikir diri sendiri juga ada salah silap. Jadi sekarang setiap kali dia mahu menjenguk anak, saya okey. Namun, ada juga orang label saya lelaki yang kejam kerana tidak membenarkan dia bertemu anak.

Bukan kejam tetapi itu syarat yang ada dalam kontrak. Sewaktu buat kontrak itu, niat saya bukan untuk berpisah tetapi mahu dia fikir panjang.

Jika dia minta cerai, itu yang dia dapat tetapi dia setuju. Saya pun terkejut pada mulanya tetapi apa boleh buat semuanya telah berlaku.

Pernahkah terfikir untuk kembali bersama pada masa depan?

Untuk menjawab soalan itu sangat susah. Kalau fikirkan tentang anak, mungkin boleh terjadi. Tetapi, apabila memikirkan tentang ibu saya, ia satu perkara yang mustahil. Sebab apa yang berlaku antara kami telah mengguris hati ibu saya dan itu adalah kesalahan besar bagi saya. Bagaimanapun, saya tidak akan pisahkan dia dengan anak kami. Apa jua yang terjadi, hubungan mereka tetap sebagai anak dan ibu.

Baru-baru ini bekas isteri anda sekali lagi menjadi perhatian selepas didakwa membuka tudung buat kali kedua. Mungkin anda ada komen tentang perkara tersebut?

Saya sendiri tidak pasti mengenai hal itu. Setahu saya, dia memang tidak bertudung selepas kami bercerai. Jadi, apa pun artikel mengenainya, saya tidak ambil tahu pula sebab kami memang tiada berhubungan. Tetapi, anak saya kerap bercerita momen ketika dia bersama bekas isteri. Salah satunya dia pernah menegur Zila supaya memakai tudung.

Sejujurnya, saya terkejut juga dengan keberanian dia tetapi saya pesan supaya menegur dengan cara baik. Saya tidak mahu ibunya berkecil hati dengan kata-kata dia. Biarpun dihentam teruk oleh khalayak, saya sangat berharap biarlah anak sendiri yang menarik dia kembali ke jalan benar suatu hari nanti.