Sebaliknya menurut Sufian, imej tersebut merupakan gambaran bunga berterbangan yang direka oleh pasukan perancang perkahwinan The Calla. 

"Grafik pada akhir persembahan sebenarnya adalah gambaran bunga yang berterbangan hingga kosong. Mungkin pecahan bunga itu berbentuk petak dan warnanya yang cerah membuatkan ramai melihatnya dari sudut berbeza. 

"Apapun, saya lebih daripada berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh pasukan @the_calla. Semoga pencerahan ini dapat mendamaikan hati-hati yang resah," tulisnya di Instagram sebentar tadi. 

Sebelum ini, persembahan Sufian yang membawakan lagu Di Matamu menjadi buah mulut ramai selepas penyanyi itu tampil dengan konsep hiasan pentas yang menggunakan candelier dan pelamin. 

Rata-rata netizen membuat spekulasi bahawa konsep persembahan penyanyi itu ditujukan untuk kisah perkahwinannya yang tidak kesampaian dengan pelakon Elfira Loy.

Bahkan kedua-dua konsep yang digunakan Sufian dikatakan sangat mirip dengan pelamin dan candelier majlis perkahwinan Elfira yang selamat mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Faris Khairol Anuar pada 1 Januari lalu. - K! ONLINE