Sehinggalah bergelar juara dan memasarkan tiga buah album studio, gelaran Puteri Tari yang diberikan oleh peminat kepadanya masih kekal sehingga ke hari ini.

Tidak terhenti setakat itu, aura Stacy diteruskan di pentas acara muzik berskala besar.

Peminat pasti tidak boleh lupa dengan persembahan-persembahan memukau Stacy ketika beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu untuk beberapa edisi menerusi lagu Aku Stacy, Pakai Buang, Jahat, Bosan dan Gilalah.

Ternyata, setiap persembahan secara langsung yang dijayakan wanita kelahiran Penampang, Sabah itu tidak pernah mengecewakan peminat.

Justeru, bagi mengukuhkan jenamanya sebagai penyanyi lagu-lagu pop, Stacy atau nama Islamnya, Ummu Syaikhah Stacy Anam kembali dengan single terkini berjudul Khayal.

“Saya berasa sangat terharu dengan sokongan yang diberikan peminat selama ini. Sejujurnya, saya agak gementar untuk meluncurkan lagu baru. Maklumlah, lama tidak muncul, takut juga peminat sudah lupakan saya.

“Alhamdulillah, mereka masih setia menyokong kerjaya seni saya. Walaupun saya telah berkahwin dan mempunyai anak, namun sokongan yang diberikan masih sama dan tidak pernah pudar,” ujar Stacy memulakan bicara.

Segar

Masih mengekalkan suaminya, Akim Ahmad yang menggunakan nama pena Hang Nadim sebagai komposer, lagu Khayal dianggap sedikit berbeza berbanding lagu-lagunya sebelum ini.

Selama 11 tahun melakar nama sebagai anak seni, Stacy berkata, ini merupakan kali pertama dia tampil dengan muzik yang lebih moden dan segar.

Menurut wanita berusia 29 tahun itu lagi, sudah tiba masanya dia menampilkan karya-karya releven dan pada masa sama, mencari identiti baharu menerusi muzik yang didendangkannya.

“Walaupun Khayal berpaksikan pada irama pop yang membuatkan kita mahu menari, tetapi, turut disuntik dengan elemen EDM synth bagi memberikan bunyi yang unik terhadap keseluruhan lagu.

“Saya suka dengan perubahan muzik ini. Disebabkan hal itu, saya mengambil keputusan untuk menulis lirik bagi lagu Khayal. Biarpun perlu melalui proses penambahbaikan, namun, saya tetap berpuas hati dengan hasil akhirnya,” ujar Stacy lagi.

Berkongsi mengenai proses penghasilan lagu, Stacy berkata, dia dan Akim tidak mengambil masa yang lama untuk menggarap Khayal.

Suami

“Muzik seperti ini bukanlah ‘makanan’ Akim. Jadi, kami berkongsi buah fikiran untuk menghasilkan sebuah lagu yang terbaik.

“Dalam erti kata lain, gabungan idea kami berjaya menghasilkan satu irama berbeza, tetapi mampu diterima ramai,” katanya.

Tambah Stacy, penghayatannya dalam lagu juga berbeza, sementelah cara nyanyiannya yang lebih feminin.

“Paling ketara adalah persembahan vokal dalam lagu ini. Tidak seperti lagu-lagu lain, saya nyanyikan Khayal dengan gaya yang lebih feminin dan penuh emosi,” katanya yang turut menitikberatkan soal kualiti suara sepanjang proses rakaman.

Ditanya adakah dia akan mengekalkan genre muzik yang ada pada Khayal, ini jawapan Stacy: “Saya mahu kumpulkan pengikut dan peminat baharu menerusi genre ini.

“Pada pendapat saya, lagu ini sangat istimewa terutama dari segi susunan muzik dan lirik. Saya mahukan susunan muzik seperti ini dikekalkan dalam single yang akan datang.

“Jika dahulu saya cukup sinonim dengan Edry Abdul Halim, tetapi sekarang, saya telah bertemu dengan komposer baharu iaitu suami sendiri yang boleh memberikan nafas berbeza dalam muzik saya,” ungkap Stacy.

Lirik

Terlanjur bicara mengenai Khayal, Stacy berkata, lagu itu merupakan percubaan keduanya menulis lirik selepas diberi peluang menggarap lirik lagu Rampas yang dipopularkan oleh Akim & The Majistret.

Justeru, apabila menyanyikan sendiri lirik tulisannya, Stacy mengakui teruja dan berterima kasih kepada Akim yang sentiasa memberikan dorongan serta semangat.

“Suami sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya untuk mencipta lirik dan lagu. Dia juga merupakan mentor saya dalam berkarya.

“Akim tidak lokek berkongsi ilmu. Apabila dia memberi tunjuk ajar, saya menjadi semakin faham mengenai cara untuk menghasilkan lagu,” katanya.

Sungguhpun bergelar suami isteri, Stacy tetap menerima kritikan daripada suami sepanjang proses menghasilkan lagu.

“Walaupun kerap dikritik dengan teguran pedas, namun, teguran-teguran tersebut banyak membantu saya. Kata Akim, dia mahu melihat saya menulis lirik mengikut cara identiti sendiri.

“Akim turut menasihati saya supaya tidak kerap menulis lagu berunsur cinta. Katanya, tiada benda yang nyata dalam muzik. Jadi, disebabkan hal itu, artis perlu berfantasi untuk menghiburkan orang,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai kehidupan peribadi, Stacy berkata, dia dan suami belum terfikir untuk menambah bilangan cahaya mata.

“Kami telah berbincang mengenai hal ini. Jika boleh, kami mahu anak kedua, Eshaal yang kini berusia dua tahun membesar dahulu. Hal ini kerana, saya tidak mahu fokus kepada Eshaal dan Bella terganggu.

“Namun, kami hanya mampu merancang. Jika Allah kurniakan rezeki, kami tidak menolak,” katanya menutup perbualan.

Mempertaruhkan single terbaharunya yang berjudul Khayal, Stacy bercerita mengenai penglibatan suami, Akim Ahmad sebagai komposer dan kebolehannya menggarap lirik dalam lagu baharu.