Sejujurnya, Spider yang ditubuhkan sejak tahun 1996 masih bersama malah aktif menerima undangan persembahan cuma ia dilakukan tanpa sorotan media.

Kata vokalisnya, Tam Mustafah, dia memahami kebimbangan peminat kerana apabila tiada khabar berita maka pelbagai andaian yang dibuat terhadap Spider namun sebagai sebuah kumpulan, mereka bukan seperti penyanyi solo yang boleh tampil dengan single baharu setiap tahun.

Masih menaruh sepenuh kepercayaan kepada penghasilan album penuh berbanding single, Tam mengakui buat masa sekarang, Spider masih belum mahu mengikut trend melancarkan single satu per satu semata-mata untuk mengelak dilupakan.

“Sejak kewujudan media sosial, kami lebih kerap mendapat maklum balas daripada peminat tentang bila mahu muncul membuat persembahan, mengapa itu dan ini. Jadi tercetus idea untuk mengadakan mini konsert Spider dan Lampu Ajaib.

“Kami tidak merancang lama, hanya dalam masa dua minggu untuk membuat latihan selepas tarikh ditetapkan. Ada yang terkejut tiba-tiba Spider mengadakan persembahan tanpa sebarang sidang media namun ketahuilah, kami juga masih dalam keadaan tidak percaya,” luahnya sewaktu sidang akhbar selepas tamatnya persembahan Spider dan Lampu Ajaib di MATIC, baru-baru ini.

Terharu

Ternyata persembahan yang diadakan dalam tempoh singkat itu belum mampu mematikan bisa Spider. Sudah lama tidak beraksi di atas pentas bukan bermakna skil mereka sudah lapuk. Sebaliknya, persembahan yang diberikan Spider membuktikan kematangan kumpulan mereka sebagai sebuah kugiran yang punya piawaian tersendiri.

Lebih menerbitkan rasa terharu apabila persembahan yang diakui Spider yang turut dianggotai oleh Ayie (dram), Napie (gitar) dan Iss (basis) memang tidak menerima hebahan itu mendapat sambutan luar biasa.

Tidak meletakkan harapan tinggi terhadap sambutan peminat,

Ternyata sangkaan mereka meleset sama sekali apabila Auditorium Tunku Abdul Rahman MATIC sesak. Malah penganjur juga terpaksa menambah kerusi kerana pada saat akhir peminat masih ramai yang tidak mendapat tiket persembahan mereka.

Berjaya menyampaikan hampir 20 buah lagu berhantu seperti Kasih Latifah, Aladdin dan Relaku Pujuk untuk dua jam persembahan, tidak ada satu pun daripadanya tidak dapat disambung nyanyi dengan baik oleh peminat.

Ironi, persembahan mereka juga menerbitkan rasa sentimental terhadap peminat yang membesar dan terbuai dengan untaian lagu mereka.

Tam sendiri mengatakan hadirin yang hadir pada malam tersebut adalah antara yang terbaik pernah dilihatnya.

“Saya mewakili Spider berasa sangat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh peminat kami terutama mereka yang hadir malam ini kerana membuatkan kami berasa sangat dihargai.

“Persembahan ini ialah hadiah buat mereka yang setia menanti dan menyokong kami selama ini sekali gus menyangkal semua dakwaan kami sudah tidak aktif, berpecah atau bersara,” tuturnya sambil tersenyum lebar.

Melihat kejayaan Spider dan Lampu Ajaib, pasti ramai yang semakin tidak sabar menanti buah tangan terbaharu daripada Spider selepas kali terakhir tampil dengan album Ankabut pada tahun 2016.

Projek solo

Terpaksa menolak dahulu permintaan itu buat sementara waktu, Napie berkata sudah tiba masanya untuk anggota Spider memberi ruang kepada diri sendiri dan cuba meneroka muzik baharu dalam diri mereka.

Sudah berbincang sesama sendiri dan mencapai kata sepakat setelah bertahun-tahun meluahkan perkara sama, 2018 dirasakan ruang terbaik bagi mereka keluar daripada ketepuan muzik lama dan memberi fokus pada projek solo masing-masing.

Kata Napie, itu bukan bermakna Spider berehat atau memberi tanda akan berpecah namun sebagai anak seni yang sudah lebih 20 tahun bersama mencipta muzik, mereka perlu mencari inspirasi baharu.

“Kami bermula sebagai sahabat, menubuhkan Spider untuk mencari rezeki dan sudah mengharungi susah-payah bersama jadi bukan semudah itu untuk berpecah kerana hubungan silaturahim yang wujud sudah mengikat kami erat.

“Memang ada masanya kami bertekak namun ia atas dasar kerja dan bukan peribadi. Jadi bagi menghasilkan lagu dengan idea lebih segar buat Spider, kami perlu mencuba cabang berbeza mengikut selera sendiri,” katanya panjang lebar.