Biarpun selepas enam tahun berdiam tanpa sebarang aktiviti seni, kemunculan semula isteri kepada pelawak terkenal, Shuib Sepahtu itu menerusi program realiti Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) pada tahun 2016 benar-benar telah mengubati rindu peminat.

Bertitik tolak dari situ, kerjaya nyanyian si jelita bertubuh genit itu kembali bersemarak.

Malah, kelantangan dan kemantapan vokalnya juga tidak boleh disangkal dan ia terbukti pada persembahan mini yang berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Ternyata magisnya masih berbisa. Pelantun lagu Ke Hujung Dunia itu berjaya memukau kira-kira 400 penonton yang datang menyaksikan persembahan mininya meskipun berada dalam keadaan tidak sihat akibat demam dan selesema.

Tampil anggun menggayakan busana rekaan Seth & Luna, Siti Sarah menghadiahkan seleksi 22 buah lagu menerusi persembahan mini tersebut yang berlangsung selama dua jam dengan Faizal Uzir selaku pengarah muzik.

Antara lagu hit yang didendangkan ialah Jangan Kau Mimpi, Saat Hilang Cintamu, Ke Hujung Dunia, Ku Teruskan, Pohon Asmara, Kesetiaan, Bersamamu, Tinggalkan Dirimu serta single terbaharunya, Semakin.

Ibu kepada tiga anak itu turut mendendangkan seleksi medley lagu nyanyiannya ketika menyertai GV3, antaranya Teratai Layu Di Tasik Madu, Joget Sayang Disayang, Bunga Angkasa dan Sengol Sengolan Cubit Cubitan.

Pelantun lagu Pasti Berbeza itu turut berduet bersama suaminya mendendangkan lagu Kejoraku Bersatu selain seleksi medley istimewa bersama Mark Adam (Sandarkan Pada Kenangan), Dafi (Menari Denganku) dan bapanya, Raisuddin Hamzah (Jangan Ada Dusta Di Antara Kita).

Melihat sambutan daripada penonton selepas lebih 10 tahun tidak beraksi solo menerusi sebuah persembahan berskala besar, Sarah mengakui terharu.

Malah kongsinya, dia sebenarnya sukar untuk berpuas hati dengan apa yang dilakukan kerana setiap perkara kecil akan diambil kira.

“Saya sememangnya sukar untuk berpuas hati sehinggakan berulang kali bertanya kepada pasukan saya sama ada persembahan tersebut okey atau tidak.

“Hal ini kerana sekecil-kecil perkara pun saya ambil kira disebabkan mahu memberikan yang terbaik kepada peminat,” jelasnya pada sidang akhbar usai melakukan persembahan.

Bakat ditarik

Bercakap mengenai kesukarannya mencapai nada rendah dan tinggi selepas melahirkan anak, Siti Sarah berpendapat, dia tidak mengalami kesukaran untuk menyanyikan lagu bernada rendah.

Sebaliknya, kongsi Siti Sarah, dia mempelajari kepentingan menyanyi dengan penghayatan apabila kehilangan suara selepas melahirkan anak.

“Apa yang penting dalam nyanyian adalah penghayatan. Sememangnya selepas bersalin, saya merasakan bakat ditarik sehingga sukar menyanyikan lagu bernada rendah dan tinggi.

“Bagaimanapun, saya jadi lebih banyak bermuhasabah diri dan tidak berhenti belajar sesuatu yang baharu sehinggalah saya sedar, saya masih boleh menyanyi tetapi dalam nada tertentu,” ujarnya sebak.

Fasa belajar

Menyentuh perihal penampilannya selepas pulang daripada mengerjakan umrah pada Mei lalu, Siti Sarah memohon doa daripada khalayak dan menyifatkan dirinya masih dalam fasa belajar.

“Sebenarnya selepas pulang daripada mengerjakan umrah, saya tidak mempunyai perasaan untuk membuka tudung. Apa pun, saya masih belajar menyesuaikan diri dan mengharapkan doa semua agar saya terus istiqamah.

“Saya memerlukan masa dan mahu cuba memperbaiki diri secara perlahan-lahan,” ujarnya yang manis mengenakan turban sepanjang persembahan mini tersebut berlangsung.

Bercerita berkenaan kehidupan yang dilalui selepas pulang mengerjakan umrah, Siti Sarah memberitahu, sejujurnya dia berdepan cabaran dalam beberapa perkara.

Menyifatkan cabaran yang dihadapi agak peribadi untuk dikongsi bersama khalayak, pemenang kategori Artis Baru Terbaik Anugerah Industri Muzik 2003 itu juga pernah berdilema soal kerjaya nyanyian sekembalinya daripada menunaikan umrah.

“Ketika itu, saya berdepan dilema sehinggakan pihak pengurusan Indigital Sdn. Bhd. turut bertanyakan sama ada saya masih mahu menyanyi atau tidak.

“Saya sememangnya mengimpikan untuk mengadakan persembahan mini dan apabila pihak pengurusan menetapkan tarikh untuk mengadakan perbincangan berkenaan persembahan itu, saya hanya kuatkan diri,” katanya yang membuat persiapan untuk persembahan mini tersebut dalam tempoh dua minggu sahaja.

Percaya bahawa setiap yang berlaku atas keizinan Allah, Siti Sarah bersyukur kerana kehidupannya berjalan lancar dan dipermudahkan.

Malah katanya, jika tiada aral, dia dan Shuib berhajat mengadakan sebuah persembahan di Singapura pula kerana mempunyai kumpulan peminat yang ramai di republik tersebut.

“Saya mendapat permintaan tinggi di sana dan untuk itu, saya beritahu Shuib, jika diberikan rezeki kelak, saya mahu mengadakan konsert di Singapura demi menghiburkan peminat di sana.

“Selain itu, saya dan Shuib juga mempunyai perancangan untuk berkolaborasi menghasilkan single duet selepas melihatkan keserasian kami di atas pentas,” ujarnya mengakhiri bicara.