Siti Saleha atau nama sebenarnya, Siti Saleha Mohd Baharum, 29, berkata, dia dan pasangan , Ahmad Lutfi Azhar sememangnya telah lama mengimpikan kehadiran anak dalam keluarga mereka.

Menurutnya, selepas dua tahun mendirikan rumah tangga, dia telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.

"Kami sememangnya merancang untuk mendapatkan anak. Mungkin tahun depan kami akan lebih fokus ke arah itu.

"Sejak dua tahun lalu, jadual kerja kami terlalu padat. Saya terlibat dengan penggambaran, manakala dia dengan komitmen kerja. Jika ada rezeki (anak) saya akan perlahankan penglibatan dalam karier seni," katanya kepada Kosmo! Online.

Pelakon 7 Hari Mencintaiku itu berkata, biarpun merancang memperlahankan kerjaya, dia masih melaksanakan tugas sebagai wajah dan jurucakap produk yang telah dilantik.

"Biarpun tidak berlakon, saya dapat merasakan jadual saya masih padat. Saya suka bekerja. Namun tuntutan komitmen tersebut tidak setinggi sebagai seorang pelakon," ujarnya. - K! ONLINE