Siti Nurhaliza Tarudin, 40, berkata, sebelum memasuki fasa kehamilan dia perlu mendapatkan nasihat doktor untuk kembali berusaha mendapatkan cahaya mata kedua.

Menurut Siti Nurhaliza, dalam keadaan usianya yang semakin meningkat, dia perlu memastikan fizikalnya juga berada dalam keadaan yang baik.

"Impian saya ketika awal perkahwinan dahulu sememangnya mengimpikan anak yang ramai. Tetapi rezeki Allah telah kurniakan zuriat sulung selepas hampir 10 tahun mendirikan rumah tangga.

"Saya sedar kawan-kawan seusia saya telah mempunyai lima hingga enam orang anak. Jadi saya berharap untuk menambah cahaya mata sebelum usia mencecah 43 tahun," katanya kepada Kosmo! Online.

Dia berkata demikian ditemui pada Majlis Perjumpaan Hari Raya Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Sitizone 2019 di Hotel The Pearl di sini hari ini.

Hasil perkahwinan bersama Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa , 60, pasangan itu dikurniakan cahaya mata Siti Aafiyah yang kini berusia setahun.

Mengulas mengenai perkembangan terkini Siti Aafiyah, Siti Nurhaliza berkata, anaknya itu tidak mahu lagi dipegang kerana telah pandai berjalan.

Katanya, dia berasa sebak dengan perkembangan terkini Siti Aafiyah kerana anak tunggalnya itu pantas membesar.

"Saya sedih. Dia tidak mahu lagi dipimpin kerana telah pandai berjalan. Pantas masa berlalu," katanya.

Walaupun begitu, Siti Nurhaliza berkata, dia mahu Siti Aafiyah membesar seperti kanak-kanak yang lain serta bergaul rapat dengan rakan seusianya. - K! ONLINE