Bukan sekadar itu, siri animasi yang menyampaikan jalan cerita dengan diselitkan dendangan lagu oleh kesemua watak itu sememangnya antara daya penarik utama golongan itu untuk terus menontonnya.

Maka, tidak hairanlah siri animasi popular itu mendapat tontonan melebihi 1 bilion di Youtube selain menjadikan ia sebagai siri animasi nombor satu di Astro Ceria.

Menyedari hal itu dan beberapa faktor lain seperti dendangan siri lagu kanak-kanak di Youtube hingga kepada terbitan cerita pendek menerusi Cerita-Cerita Didi & Friends pada tahun lalu, syarikat Digital Durian kini tampil lebih gah dengan buah tangan terbaharu iaitu filem berjudul Konsert Hora Horey Didi & Friends.

Pengasas yang juga Pengarahnya, Sinan Ismail berkongsi serba sedikit mengenai idea untuk menghasilkan filem Konsert Hora Horey Didi & Friends tersebut.

“Pada tahun lalu, saya hadir ke satu pratonton Cerita-cerita Didi & Friends di pawagam. Pada waktu itu saya duduk di hadapan sekali. Saya lihat ramai kanak-kanak menari dan menyanyi di bahagian depan skrin dan mereka sangat gembira.

“Daripada situ, kita rasa kita harus kembangkan lagi pengalaman ini. Jadikan ia seperti sebuah konsert supaya mereka bebas menari dan menyanyi,” ujarnya yang mengambil masa kira-kira setahun untuk menyiapkan buah tangan baharu itu.

Apa yang menarik lagi mengenai filem yang berdurasi selama 80 minit itu, ia turut menampilkan dua penyanyi terkenal negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Tomok.

Dalam filem berkenaan, Siti akan dizahirkan dalam bentuk karakter animasi tiga dimensi (3D) dikenali dengan panggilan Mak Iti dan akan mendendangkan lagu bertajuk Oh Nana.

Sementara itu, Tomok pula satu-satunya karakter yang bukan animasi yang ada dalam konsert berkenaan. Tomok pula akan mempersembahkan lagu berjudul Tayar Bas.

Ketika ditanya mengenai penerimaan Tomok apabila ditawarkan untuk turut serta dalam filem Konsert Hora Horey Didi & Friends itu, penyanyi itu meluahkan rasa terujanya.

“Apabila mendapat tawaran ini daripada pihak Digital Durian, saya rasa ia adalah satu peluang yang sangat besar.

“Meskipun ia adalah satu naskhah yang melibatkan kanak-kanak tetapi saya tiada masalah kerana sejak dulu saya dan anak sendiri, Arrian suka menonton Didi & Friends,”jelasnya.

Bagi anda yang berminat, jangan lupa saksikan filem Konsert Hora Horey Didi & Friends di pawagam Tanjung Golden Village di seluruh negara mulai 10 Mac ini.