Menurut Siti Nurhaliza Tarudin, 40, aktiviti itu merupakan sebahagian daripada komitmennya mengajak masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat di samping meluangkan aktiviti riadah bersama peminat.

Siti Nurhaliza berkata, dia teruja untuk bersama peminat melakukan aktiviti berkenaan kerana Putrajaya antara lokasi yang diminatinya untuk berbasikal.

"Saya ingin mengajak kesemua wanita di luar sana khasnya para peminat sama ada mereka yang menetap di kawasan sekitar Putrajaya atau berdekatan mengikuti program ini.

"Saya sendiri secara peribadi gemar berbasikal sekitar Putrajaya bersama suami. Malah lokasi ini juga menjadi tempat pembelajaran saya sepanjang berjinak-jinak dengan hobi ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Kayuhan Wanita 2019 Galak Gaya Hidup Sihat di lobi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini semalam.

Turut hadir, Menterinya, Zuraidai Kamaruddin.

Pelantun Kasihmu Selamanya itu berkata, dia telah bersedia untuk melakukan kayuhan sejauh 20km bersama para peminat.

"Saya mungkin mengambil masa selama sejam untuk menghabiskan kayuhan. Tetapi kita tidak berlumba, program ini adalah kayuhan santai," katanya.

Selain kategori wanita untuk kayuhan sepanjang 20km, program itu juga terbuka kepada lelaki dengan kayuhan sejauh 40km. - K! ONLINE