Bahkan, kecenderungan Faizal terhadap penyanyi berusia 24 tahun itu semakin ketara apabila menyatakan rasa terkilannya apabila pemilik nama sebenar Sissy Imann Mohammad Kamil itu tersingkir awal sebelum berjaya ke pentas final.

Bagaimanapun, ternyata, penangan Sissy benar-benar membuatkan komposer berusia 41 tahun itu mahu terus ‘memilikinya’. Buktinya, Faizal membuka peluang dengan melamar Sissy untuk bernaung di bawah Faithful Music yang juga syarikat rakaman miliknya.

Sekali gus, banyak cakap-cakap yang timbul dalam kalangan pengikut industri yang mendakwa bahawa Sissy merupakan anak emas kepada Faizal Tahir.

Bahkan, pada minggu ini juga, Sissy buat pertama kalinya muncul dengan single pertama selepas Big Stage berjudul Pesanan Ayahanda yang juga merupakan hasil nukilan Faizal Tahir.

“Entahlah, kalau orang cakap saya ini anak emas Faizal, barangkali itu hanya pandang orang ramai sahaja.

“Apa yang pasti saya memang ‘anak’ dia sekarang, kerana bernaung di bawah syarikat Faizal Tahir. Bahkan, saya sendiri memanggilnya dengan panggilan ‘bapak’,” kongsi Sissy kepada Sensasi Bintang ketika dihubungi baru-baru ini.

Tidak dinafikan, kata Sissy, dakwaan mengatakan anak emas itu juga secara tidak langsung membuatkan ada pihak mendakwa Faizal juga bersikap berat sebelah kerana cenderung terhadap Sissy.

“Sebenarnya bukan sahaja pujian yang saya dapat daripadanya, tetapi ada juga teguran.

“Kalau nak kata saya ini pilihan Faizal, tetapi saya tidak selamat juga di Big Stage tempoh hari, tersingkir juga akhirnya,” katanya secara berseloroh.

Bagaimanapun, kata Sissy dia memang cukup teruja apabila berpeluang untuk bekerjasama dengan individu yang cukup berbakat dan disegani dalam industri seperti Faizal.

“Sebenarnya, kami sudah mula berinteraksi antara satu sama lain menerusi aplikasi Direct Message (mesej peribadi) di Instagram memandangkan saya sebelum ini memang banyak melakukan cover (nyanyian semula) lagu-lagu Faizal Tahir.

“Jadi, dari situlah sebenarnya kami mula berhubung antara satu sama lain sebelum dia melamar saya untuk bekerjasama. Bahkan, dia sendiri pernah beritahu bahawa video lagu cover saya paling banyak tontonan di akaunnya apabila dikongsikan,” ceritanya yang baharu sahaja melancarkan video muzik Pesanan Ayahanda Khamis lalu.

Bercakap mengenai pembikinan lagu itu, kata Sissy, lagu itu dihasilkan oleh lima orang komposer iaitu Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan, Romeo dan dirinya sendiri.

“Alhamdulillah, selepas enam tahun berada dalam industri, saya sendiri dapat melihat perubahan positif apabila semakin ramai yang menerima kehadiran saya dalam industri.

“Apa yang saya boleh katakan, pembabitan saya dalam Big Stage yang lalu benar-benar menjadi platform buat orang kenal dan sedar kehadiran saya,” kongsinya menutup bicara.