Muzik video rasmi itu yang dilancarkan pada 4 Ogos lalu sehingga kini mendapat jumlah tontonan mencecah 800 ribu kali dan akui Zizan, ia perkara yang tidak dijangka kerana single tersebut berbeza dengan lagu-lagunya sebelum ini.

Kata pemilik nama sebenar Mohd. Razizan Abdul Razak itu lagi, dia pada mulanya agak gementar jika peminat tidak boleh menerima transisi karakter dirinya yang lebih serius dalam Kau Takkan Tahu.

Namun, selepas melihatkan reaksi positif peminat, dia semakin bersemangat untuk mempromosi lagu itu dan sudah mempunyai perancangan untuk membawanya ke pasaran Indonesia.

KOSMO!: Boleh ceritakan sedikit tentang single ini?

ZIZAN: Lagu ini ciptaan sepenuhnya oleh Alif dari Magic Potions dan menerusi Kau Takkan Tahu, saya turut berkolaborasi dengan penyanyi baharu, Melda. Ia berkisahkan luahan hati seorang lelaki tentang hubungan dengan teman wanitanya yang sering diselubungi pelbagai syak wasangka sehingga akhirnya cinta mereka gagal di tengah jalan. Meskipun masih mengekalkan genre hip hop, namun ia bukanlah seperti lagu saya sebelum ini. Hal ini kerana lirik serta melodinya lebih berat dan saya agak serius dalam menyanyikannya.

Mengapakah menanti sehingga dua tahun untuk melancarkan single ini?

Secara jujurnya, pada mulanya saya agak takut kerana ini bukan Zizan yang peminat kenali sebelum ini. Saya risau mereka tidak dapat menerima perubahan yang cuba saya serapkan dalam single ini memandangkan peminat sudah terbiasa dengan karakter saya yang ceria dan gembira.

Ternyata jangkaan saya salah kerana rata-rata mereka okey dengan perubahan ini dan melihat ia suatu perbezaan yang bagus untuk karier nyanyian saya. Jika tiada kekangan, saya mahu membawanya ke pasaran Indonesia kerana ada peminat yang sering meminta saya melancarkan lagu di sana.

Apakah makna perubahan sisi anda yang lebih serius dalam karier anda sebagai selebriti?

Saya masih seorang pelawak cuma ingin berevolusi dan menjadi lebih baik dalam setiap karya atau pekerjaan yang saya lakukan.

Mungkin ada yang mengatakan Kau Takkan Tahu memperlihatkan saya sebagai seorang yang lebih matang dan saya tidak menafikan hal itu. Saya sudah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya seni sepanjang 10 tahun bergelar artis, jadi saya tidak mahu terus berada pada takuk lama. Saya perlu berani membuat perubahan agar kekal relevan dalam industri.

Adakah kisah ini mengambil inspirasi daripada kehidupan sebenar Zizan?

Tidak, ia hanyalah rekaan semata-mata dan tiada kaitan langsung dengan saya. Saya sebenarnya kalau boleh mahu mengelak bercakap soal peribadi terutamanya cinta dan pernikahan kerana ia masih tiada dalam perancangan hidup saya.

Jangan risau, kalau mahu kahwin, saya akan beritahu semua media dan tidak sorokkan berita baik seperti itu.

Boleh kongsikan perkembangan terbaharu anda?

Insya-Allah, filem saya Polis Evo 2 akan menemui penonton pada November depan. Saya juga sekarang sibuk berulang-alik ke Jakarta kerana semakin banyak tawaran lakonan dan mengacara yang diterima di sana. Selain itu, saya juga dalam proses perbincangan dengan Ghaz Abu Bakar untuk filem terbaharu yang mahu dilakukan pada tahun hadapan.