Peristiwa pertama adalah majlis memeterai perjanjian kolaborasi nusantara antara dua syarikat gergasi muzik di Indonesia iaitu Musica Studio's dan Universal Music Malaysia. Kolaborasi tersebut sebenarnya menjadi satu tanda aras yang tinggi dalam dunia hiburan bagi kedua-dua negara. Hal ini kerana, Musica Studio's yang pertama kali beroperasi sekitar tahun 1970an tidak pernah membuka pintu gabungan dengan mana-mana syarikat muzik lain. Mereka yang memiliki hampir segudang bintang tenar Indonesia termasuk Chrisye, Harvey Malaiholo, Hetty Koes Endang, Iwan Fals, Peterpan (yang kini berdiri atas nama Noah), Nidji dan D'Masiv misalnya, dilihat tidak memerlukan sokongan daripada pihak lain untuk menakluk industri muzik Indonesia khususnya.

Bagaimanapun, sewaktu pihak Universal Music Malaysia mengajak mereka menjalin kerjasama, ia disambut baik. Bagi Universal Music Malaysia sendiri, artis yang berpayung di bawah mereka bukan calang-calang tetapi nama besar seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Sheila Majid, Ella, Yuna, Bunkface dan Estranged membuktikan kredibiliti syarikat tersebut.

Signifikan jalinan tersebut juga akan bersifat sama-sama menang. Artis di bawah payung Musica akan mempunyai laluan mudah mengadakan persembahan di Malaysia, sementara penyanyi negara ini juga akan mendapat peluang serupa. Lebih daripada itu, mereka merancang kolaborasi antara sesama artis untuk single sebaik jalinan kerjasama tersebut termeterai.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong sewaktu ditemui di Bali berkata, dia melihat banyak potensi besar sebaik kerjasama tersebut terjalin. Selain mempunyai perancangan melahirkan album kompilasi lagu-lagu daripada produk Musica dan Universal sendiri, mereka mempunyai fokus besar yang lain.

“Matlamat utama jalinan ini ialah kami mahu memperkenalkan atau membawa artis kita keluar dari pasaran Malaysia sahaja. Gabungan ini menjadi platform artis kita dipasarkan di Indonesia atau Filipina. Bukan sekadar memberi peluang atau membawa masuk artis di bawah Musica sahaja tetapi ini adalah jalan yang mampu menaikkan nama artis kita di negara lain.

“Selain merancang album kompilasi, kita akan melakukan kerjasama antara band-band di bawah syarikat masing-masing seperti Noah, Nidji, Bunkface dan Estranged untuk menghasilkan single yang bukan sahaja sedap didengar, tetapi mampu dipersembahkan dengan baik dalam persembahan secara langsung,” ujar Kenny mengenai jalinan kerjasama yang dimeterai selama tiga tahun itu.



Kenny Ong (kanan) bersama Gumilang Ramadhan memeterai kerjasama antara Musica Studio's Indonesia dan Universal Music Malaysia dalam mencapai misi seni masing-masing.

Sementara itu, Pengarah Urusan Musica Studio's, Gumilang Ramadhan pula berharap jalinan mereka bukan sekadar berkenaan menghasilkan album atau kolaborasi artis, sebaliknya memperkemas portfolio masing-masing dari segi pengurusan jualan fizikal mahupun digital produk mereka, selain mempunyai misi dan visi yang seiring dengan Universal.

“Kami juga berharap dapat melakukan siri jelajah di Malaysia,” ujar Gumilang.

Destinasi terakhir Bangkit Untuk Satu!

Meninggalkan peristiwa pertama, sejarah kedua yang tercipta di Uluwatu, khususnya di GWK apabila menjadi destinasi terakhir Konsert Bangkit Untuk Satu! yang terlebih dulu telah menggegarkan empat destinasi lain iaitu Banjarmasin, Malang, Palembang dan Makasar.

Bali juga menjadi lokasi reunion semua pelaku seni yang terlibat iaitu Iwan Fals, Noah, Nidji, Geisha dan D'Masiv.

Projek khas yang sebenarnya merupakan produk terkini penyanyi legenda Indonesia, Iwan Fals tersebut bukan sahaja didokumentasikan dalam bentuk persembahan pentas, sebaliknya dihasilkan dengan sebuah album berjudul Satu. Ia merupakan projek terbesar menyaksikan penyanyi yang digelar ‘manusia separuh dewa' itu bersama pemuzik generasi muda yang mendominasi pasaran republik tersebut.

Bangkit Untuk Satu! juga mempunyai signifikannya tersendiri. Ia tidak disenyawa tanpa sebab yang basa-basi, sebaliknya sikap kepedulian dan kecintaan yang tinggi Iwan Fals terhadap alam sekitar, permasalahan sosial Indonesia yang sudah semakin tidak terbendung.

Ia turut membawa kritikan yang diisi dalam bait lagu sedia ada milik legenda itu sejak merajai pasaran muzik Indonesia dari tahun 1980an sehingga kini. Suara-suara tersebut dilontar dengan ‘garang', jelas tetapi manis dalam pesanan buat generasi baharu.

Saat menyaksikan persembahan gabungan lima pelaku seni tersebut membuat penulis terhibur dengan persembahan serta persediaan rapi yang dilakukan pihak penganjur dan produksi konsert itu.



Menerusi kolaborasi lagu Para Penerka, Ariel Noah dan Iwan Fals menyampaikan pesan tentang bahayanya pandangan tanpa fakta di laman sosial.

Semuanya serba tersusun dengan pemilihan sistem bunyi yang tidak kecundang atau menenggelamkan mana-mana instrumen muzik mereka, penataan cahaya dan letusan bunga api sebagai penutup acara membuat konsert tersebut berakhir sempurna.

Tentu juga, kredit besar harus diberikan kepada Iwan Fals yang ‘menyihir' peminat dengan suara emasnya sebaik tampil ringkas bersama gitar ‘kapok' dengan kuasa magis luar biasa pada konsert tersebut. Senandungnya pada hit seperti Bangunlah Putra Putri Pertiwi, Tanam Siram Tanam dan Pelangi sudah membuah ledakan besar sorakan peminat.

Noah yang tampil pada set kedua dengan mengambil alih pentas secara sempurna pula mengalunkan hit Iwan Fals, Ibu dengan manis sebelum kolaborasi mereka menerusi Para Penerka dan didendangkan pada malam itu menggamit perhatian. Noah turut membuat khalayak teruja apabila mereka mendendangkan hit sendiri seperti Separuh Aku sebelum Geisha menyusul dan mendendangkan hit Iwan Fals yang menimbulkan keghairahan iaitu Izinkan Aku Menyayangimu serta beberapa lagu lain.

D'Masiv yang tampil serba putih tidak menunggu lama untuk mempamer kehebatan mereka menerusi lagu seperti Entah yang didendangkan bersama Iwan Fals, selain kelihatan ‘liar' dan menikmati hit Bento (milik Iwan Fals) yang didendangkan dengan versi tersendiri.

Menjadi band terakhir yang muncul dalam konsert tersebut, gabungan Nidji dan Iwan Fals saat memainkan lagu Pesawat Tempurku membikin histeria kepada peminat.

Bangkit Untuk Satu! akhirnya ditutup kemas dengan kemunculan semua vokalis band utama iaitu Ariel (Noah), Giring (Nidji), Momo (Geisha), Rian (D'Masiv) memberi penghormatan terakhir, bersenandung dengan Iwan Fals menerusi lagu Kemesraan.

Berakhirnya rangkaian konsert itu melengkapkan manifesto Iwan Fals, seperti katanya dalam temu bual: “Saya bikin lagu dengan niat baik tanpa niat jahat. Maka jangan takut untuk menyanyi kerana ia mampu merawat banyak penyakit. Gabungan pemuzik baharu dengan saya menerusi Bangkit Untuk Satu! adalah untuk menyampaikan pesan bahawa kita hidup hanya sementara, jadi marilah menikmati cinta dan merawat dunia dengan cara kita.”