Lihat sahaja kejayaan lagu Ombak Rindu yang menjadi runut bunyi filem dengan judul sama pada 2011. Sementara pada 2015, mereka mendaki carta lagu popular di radio menerusi lagu Untuk Cinta yang merupakan runut bunyi filem Pilot Cafe.

Menariknya, biar begitu banyak karya muzik dan genre datang silih berganti kedua-dua lagu tersebut kekal popular sehingga ke hari ini.

Kini selepas hampir empat tahun memberi fokus terhadap karier solo masing-masing, Hafiz dan Adira kembali disatukan buat kali ketiga menerusi lagu Takdir Tercipta.

Lagu berentak balada itu turut diangkat sebagai runut bunyi drama rantaian Lelakimu Yang Dulu lakonan Sharnaaz Ahmad dan Nelydia Senrose yang bakal ditayangkan di slot Akasia TV3 mulai 19 September ini.

Mengulas mengenai pertemuan semulanya dengan Hafiz dalam karya hasil gubahan komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali, manakala lirik oleh Ikhwan Fatanna bersama penerbit drama Lelakimu Yang Dulu iaitu Arisz Ab. Rahman, kata Adira, ia satu pengalaman yang menyeronokkan.

“Sudah lama kami tidak disatukan dalam lagu. Bagi saya, Hafiz seorang yang sangat komited dan profesional dengan kerjanya.

“Kelunakan suara dan kemahiran seni vokal merupakan kekuatannya. Senang bekerja dengan Hafiz, oleh sebab itulah kami cepat serasi setiap kali berduet dalam sesebuah lagu.

“Saya berharap lagu Takdir Tercipta mendapat sambutan luar biasa dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat. Semoga lagu ini akan kekal dalam ingatan peminat seperti lagu Ombak Rindu yang pernah menjadi fenomena suatu masa dahulu,” tutur Adira berkenaan karya yang turut mendapat sentuhan komposer Omar K selaku penerbit rakaman.

Karya muzik

Sekitar awal tahun ini, Hafiz terlebih dahulu melonjak dengan lagu Kisah Cinta Kita yang secara kebetulan diangkat sebagai runut bunyi drama Dia Menantu Rahsia lakonan Ashraf Muslim dan Raysha Rizrose.

Sementara Adira pula cukup popular dengan lagu Pujaan Hati yang diangkat sebagai runut bunyi drama rantaian fenomena, Pujaan Hati Kanda lakonan Remy Ishak dan Mira Filzah.

Satu fakta yang mungkin ramai tidak sedari adalah kedua-dua lagu solo mereka itu dicipta oleh penulis lagu yang sama untuk lagu duet Takdir Tercipta.

Meskipun secara peribadi Hafiz menyukai lagu-lagu ciptaan penulis itu, namun perkara tersebut berlaku secara kebetulan sahaja.

“Sebenarnya, saya tidak pernah merancang mahu menggunakan penulis lagu yang sama untuk lagu duet ini. Saya kira ini merupakan kebetulan saja kerana komposer Ikhwan Fatanna dan Ayden Ali sering bekerja rapat dengan pihak Nova Music.

“Secara peribadinya, saya memang menggemari dengan karya-karya ciptaan mereka. Alhamdulillah, kerjasama kami dalam Kisah Cinta Kita menjadi dan mendapat sambutan luar biasa peminat.

“Begitu juga dengan lagu Pujaan Hati dendangan Adira turut mendapat respons yang baik. Harapnya fenomena akan tercetus apabila kami semua bergabung dalam lagu Takdir Tercipta. Sekurang-kurangnya mendapat sambutan yang baik seperti mana lagu-lagu solo kami,” ulas Hafiz.

Fakta

Selain berkongsi penulis lagu yang sama, satu lagi fakta menarik tentang kolaborasi Hafiz dan Adira adalah mereka hanya akan muncul dengan sebuah karya duet empat tahun sekali.

Merancang untuk kekal dengan rutin sebuah lagu duet baharu bersama Adira dalam tempoh setiap empat tahun, kata Hafiz sebagai penyanyi menjadi satu kewajipan untuk memenuhi permintaan peminat yang mahu melihat mereka dalam sebuah karya.

“Sudah begitu lama kami tidak berduet. Jadi, saya harap penggemar muzik tempatan dapat menerima baik lagu duet ini dan usaha kami untuk kembali bersama atas permintaan peminat.

“Lagu Takdir Tercipta adalah persembahan khas kami buat peminat setia yang tidak henti memberikan sokongan selama ini,” jelas Hafiz.

Menyentuh tentang mesej dalam lagu Takdir Tercipta jelas Hafiz, liriknya amat menepati plot drama Lelakimu Yang Dulu. Mengisahkan tentang pasangan kekasih yang menggenggam kemas jodoh pertemuan atas kepercayaan bahawa mereka diciptakan untuk saling melengkapi dan ditakdirkan hidup bersama.

Takdir Tercipta merupakan lagu duet pertama Hafiz dan Adira yang diterbitkan di bawah syarikat rakaman Nova Music (M) Sdn. Bhd.

Sejak dimuat naik dalam laman perkongsian video YouTube rasmi, Nova Music Videos pada 16 Ogos lalu, video promo 45 saat Takdir Tercipta sudah mencapai lebih 70,000 tontonan.

Tayangan perdana klip video lirik rasmi lagu Takdir Tercipta boleh ditonton di saluran YouTube, Nova Music Videos bermula 9 September lalu (semalam) pada pukul 3 petang.

Selain itu, buat peminat yang ingin mendengar lagu Takdir Tercipta, single ini boleh didapati di semua platform muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBox, Deezer dan iTunes mulai semalam.