Vokalis kumpulan itu, Jaie berkata, selain melancarkan album terbitan Bsync Productions dengan sembilan buah lagu itu, mereka juga akan mengadakan persembahan selama hampir sejam sempena pelancaran album tersebut.

“Sebenarnya, album ini dirakamkan tujuh tahun lalu tetapi proses adunan semula telah dilakukan pada tahun ini dan ia mengandungi empat buah lagu Melayu dan empat lagu Inggeris.

“Pada majlis itu, kami juga akan mengadakan persembahan mini sebelum meneruskan promosi dan konsert bergerak di beberapa tempat seperti di Kota Kinabalu, Ipoh, Pulau Pinang, Kuantan dan Johor Baharu,” katanya.

Selain Jaie, Sil-khannaz yang turut dianggotai oleh Dark-e (gitar), Roi (gitar), Neer Hashirim (bass) dan Afzal (dram) yakin album dalam bahasa Melayu itu mampu mengubat rindu pada peminat yang banyak menyokong mereka selama ini.

Selain itu, kumpulan Uncure yang dianggotai oleh dua orang anggota kumpulan A.C.A.B. iaitu Anaz dan Zul juga akan melancarkan album pertama mereka terbitan Bsync Production bertajuk Bengang yang mengandungi lapan buah lagu.

Sempena pelancaran album dan persembahan mini Sil-khannaz serta Uncure yang mengenakan bayaran RM40 itu, dua kumpulan tempatan iaitu Sick Society dan The Offside turut diundang mengadakan persembahan.

Tambah Jaie lagi, bagi mempromosikan album terbaharu Sil-khannaz dan Uncure itu mereka telah muncul dengan klip video bertajuk Tawanan Dosa dan Bengang yang kini boleh ditonton percuma di YouTube.

“Selain menyaksikan persembahan Sil-khannaz, Uncured dan dua lagi kumpulan undangan itu, para peminat yang datang juga boleh mendapatkan album-album kami dan banyak lagi produk lain sewaktu majlis pelancaran tersebut,” ujarnya.

Sil-khannaz yang ditubuhkan di Kangar, Perlis pada 1987 sebelum ini telah melahirkan lima buah album dan kali yang terakhir 12 tahun lalu menerusi album berjudul Berdiri Antara Panji-Panji. - K! ONLINE