Nam Ron atau nama sebenarnya Shahili Abdan unggul dengan trofi Pengarah Terbaik, manakala anak didiknya, Amerul Affendi merangkul anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi One Two Jaga.

Jarang-jarang beraksi dalam persalinan baju Melayu berwarna-warni, Nam Ron dan Amerul seronok bercakap tentang kerja seni, badi anugerah dan selingan kisah sambutan Aidilfitri masing-masing.

Biar tidak dijulang asal ada ruang. Demikian juga naratif dua anak seni itu ketika membahaskan erti deretan trofi yang dirangkul sepanjang tumpahnya cinta mereka terhadap seni kreatif, filem dan teater tanah air.

Portfolio Nam Ron sebagai anak seni dalam industri usah dipertikaikan. Deretan filem, drama dan pelbagai anugerah yang dirangkul sudah cukup menggambarkan betapa karya anak kelahiran Kangar, Perlis itu meninggalkan kesan ke jiwa khalayak.

Sentuhan lelaki berusia 50 tahun itu terbukti apabila filem kedua arahannya, One Two Jaga menempatkan dirinya sebagai antara pengarah terbaik Asia Tenggara menerusi pengiktirafan AIFFA dan Festival Filem Malaysia Ke-30.

Nam Ron buru Mat Derih

“Trofi adalah rezeki. Niat saya adalah untuk berkarya dan melontarkan isu menerusi setiap naskhah,” katanya memulakan bicara.

Tiada istilah rehat setelah kejayaan filem yang mengangkat kontroversi rasuah dalam dunia kepolisan, Nam Ron kembali menduduki kerusi pengarah dan penulis skrip.

Garapan terbaharunya Master Picisan dan Mat Derih Kola Perlih menyentuh isu gangsterism dan budaya politik tempatan. Dua filem berkenaan memerlukan tumpuan penuh daripada Nam Ron.

Master Picisan sudah selesai penggambaran dan kini dalam proses suntingan. Mat Derih Kola Perlih pula berkonsepkan biografi menerusi penciptaan watak fiksyen Mat Derih. Saya akan menyampaikan peralihan kehidupan Mat Derih daripada seorang gangster yang akhirnya menjadi ahli politik,” kongsinya.

Rancak berkongsi mengenai projek tersebut, Nam Ron juga sedang memburu hero tempatan yang mampu mendukung watak utama sebagai Mat Derih.

Tanpa berselindung, Nam Ron berkata, dia belum menemui pelakon yang sesuai untuk menjayakan watak tersebut.

“Saya belum jumpa pelakon yang mampu untuk bawa watak Mat Derih. Jika ada pun, dia perlu mempunyai ilmu seni bela diri dan bertutur loghat Kuala Perlis,” ulasnya.

Sementelah emosi perayaan masih bersisa, Nam Ron sempat berkongsi mengenai sambutan Syawalnya, saban tahun. Pada tahun ini, Nam Ron meraikan 1 Syawal di kampung mertuanya di Johor Bahru, Johor.

“Setiap kali raya, saya lebih fokus terhadap keperluan anak-anak. Selebihnya bersama keluarga dan menikmati pelbagai juadah,” tutupnya.

Berlakon sekadar hobi

Aktor yang pernah lantang mengkritik kecenderungan stesen televisyen memberi ruang kepada pelakon berdasarkan paras rupa semata-mata, Amerul Affandi pula tersenyum saat diajak bercerita tentang skala kariernya ketika ini.

Tiga tahun telah berlalu, pelakon filem Polis Evo itu bersyukur kerana suaranya didengari peminat industri drama dan perfileman tempatan.

“Suara saya didengari secara majoriti. Apabila wujud permintaan secara majoriti maka pihak televisyen perlu akur,” ulasnya.

Hampir 10 tahun berada dalam industri, Amerul berkata, fokusnya kini tidak lagi terhadap dunia lakonan.

Biarpun sudah banyak diberikan ruang untuk berkarya oleh stesen-stesen televisyen, Amerul selesa menggariskan dunia lakonan kini platform melempiaskan hobi baginya.

Kini terbabit aktif dalam industri berasaskan pertanian yang diusahakan sejak tiga tahun lalu, Amerul menyifatkan peralihan tersebut penting sebagai jaminan, memandangkan dunia seni sangat berisiko.

“Sejak tiga tahun lalu saya telah aktif dalam bidang pertanian seperti penanaman kelapa sawit dan penternakan antaranya kerbau dan patin.

“Projek ini saya usahakan di kampung halaman iaitu di Temerloh, Pahang. Jika dahulu dunia lakonan mata pencarian utama, sekarang tidak lagi kerana fokus saya adalah perusahaan pertanian,” dedahnya.

Biarpun memilih untuk tidak menjadikan bidang lakonan sebagai prioriti, Amerul memberitahu, cintanya terhadap dunia sinema dan seni tidak pernah mati.

Terbaharu, tampil sebagai pelakon dalam muzik video Yuna bertajuk, Blank Marquee gandingan bersama penyanyi rap Hollywood, G-Eazy, Amerul sekali lagu mendapat perhatian khalayak.

“Watak saya dalam muzik video itu sepatutnya dijayakan oleh Bront Palare. Oleh kerana Bront Palarae sibuk dengan projek baharu, saya yang mendapat tawaran berkenaan.

“Saya tidak tahu muzik video itu akan dibawa ke mana. Namun pada hari pertama menjalani penggambaran, saya dapat merasakan sesuatu yang best mengenai klip video ini,” kata Amerul yang juga beraya di rumah keluarga mertuanya iaitu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.