Menurut Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 50, walaupun kini dikategorikan sebagai golongan asnaf namun, itu tidak bermakna dia perlu berputus asa dan menyalahkan takdir atas apa yang berlaku.

Jelas pelantun lagu Teringin itu, dia enggan menyusahkan orang di sekelilingnya termasuk keluarga kerana sedar setiap orang pasti mempunyai masalah dan tanggungan.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Shima yang mendapat bantuan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Lembang Subang, Selangor baru-baru ini.

KOSMO!: Adakah Shima masih aktif dalam bidang seni?

SHIMA: Walaupun sudah lama tidak muncul dalam televisyen sebenarnya saya masih ada dalam dunia hiburan. Malah, saya masih menerima tawaran persembahan nyanyian. Namun, disebabkan kesempitan hidup saya terpaksa menjual makanan dan nasi campur untuk mendapatkan wang bagi membeli barangan seharian, membayar sewa rumah serta bil-bil yang lain.

Apakah perasaan anda mengenai perubahan kehidupan daripada seorang bintang popular kepada peniaga gerai makanan?

Ini adalah takdir yang telah tertulis. Hidup saya susah buat masa ini, jadi perlu ikhtiar untuk mendapatkan wang. Suka atau tidak, itulah realiti kehidupan saya dan suami sekarang ini. Saya dan suami menjual nasi campur di kawasan Pangsapuri Lestari, Damansara Damai, Selangor. Saya rasa itu lebih baik kerana tidak mahu menyusahkan adik-beradik kerana memahami mereka juga ada keluarga dan anak-anak yang sedang membesar.

Boleh ceritakan tentang tahap kesihatan anda sekarang?

Saya jatuh sakit selepas empat bulan membuka Warung Teringin bersama suami. Tahap kesakitan yang saya alami sehingga tidak boleh bangun dari katil dan tidak boleh bergerak langsung. Sebenarnya saya sudah lama menghidapi masalah cakera tulang belakang tergelincir (slipped disc) sejak 2013. Bagaimanapun saya terpaksa menahan sakit dan cuba untuk tidak mengendahkannya, namun lama-kelamaan semakin parah. Saya juga ada penyakit lemah pundi kencing disebabkan oleh faktor usia dan tiada sebarang rawatan khusus yang boleh dibuat. Oleh itu, saya akan memakai lampin orang dewasa untuk mengawal masalah tersebut.


Boleh kongsikan mengenai Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diterima anda baru-baru ini?

Saya telah menerima bantuan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan tempatan (KPKT) yang prihatin terhadap golongan berpendapatan rendah termasuk golongan artis seperti saya. Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin telah menyampaikan surat tawaran PPR Lembah Subang 2 kepada saya baru-baru ini dan itu adalah rahmat terbesar buat saya kerana sudah memiliki rumah sendiri. Bayaran setiap bulan hanya RM255 dan perlu dilunaskan dalam tempoh dua tahun. Sebelum mendapat rumah PPR ini saya perlu membayar sewa rumah sebanyak RM600. Kini, bebanan tersebut makin berkurangan.

Apakah komen anda apabila masyarakat mempersoalkan mengapa ahli keluarga yang lain membiarkan Shima hidup susah?

Saya tahu mereka sudah banyak berkorban dan kami bukan berasal daripada keluarga yang senang. Keluarga saya kini berada di Banting, Selangor dan saya hanya mengharapkan agar ibu sentiasa mendoakan yang terbaik. Saya percaya doa seorang ibu adalah kunci kejayaan di dunia selain amalan kebaikan sendiri. Ibu kerap memberitahu yang dia sentiasa mendoakan agar ada sinar dan jalan keluar bagi saya dan suami untuk menghadapi semua cabaran yang mendatang.

Selepas apa yang berlaku apakah harapan anda terhadap masa depan?

Saya berharap agar semua mendoakan kesejahteraan saya dan jauh dalam lubuk hati, saya yakin ada sinar yang menanti kelak. Terima kasih diucapkan atas bantuan daripada pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan seperti Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT) dan peminat yang tidak putus-putus memberi sokongan moral kepada saya.