Pada hemat penyanyi yang menjenamakan diri sebagai Shiha Zikir itu, dia tidak mengejar populariti yang datang seperti bertatih perlahan-lahan ke arahnya. Katanya, dia bersyukur kerana tetap dapat melantunkan suaranya buat rekreasi telinga orang ramai andai setakat itu sudah tertulis rezeki sehingga saat sekarang.

“Kalau ditakdirkan pun saya tidak menyanyi atau dikenali dalam arus perdana, saya akan tetap menyanyi kerana ia merupakan minat saya yang paling utama.

“Saya tidak berasa terkilan atau kecewa kurang dikenali berbanding rakan selebriti lain kerana saya sudah berusaha cukup baik untuk relevan dalam bidang ini. Saya perlu menghormati pilihan muzik para pendengar,” jelas anak kelahiran Bukit Mertajam, Pulai Pinang itu optimis.

Impian AJL
Setiap impian harus disulami usaha dan sepertinya kini, single terbaharu berjudul Jagakan Dia ciptaan sepenuhnya Ippo Hafiz menghadirkan sinar buat Shiha apabila ia senang diterima peminat. Justeru, besar harapan Shiha untuk melangkah ke pentas berprestij, Anugerah Juara Lagu (AJL) pada edisi akan datang.

“Menjadi harapan dan cita-cita saya untuk bertanding di pentas AJL. Dengan sambutan baik terhadap single Jagakan Dia daripada peminat, saya berharap ia akan terlaksana.

“Banyak yang telah saya laburkan untuk projek single ini termasuk berlakon sendiri dalam klip video. Saya berharap diberi peluang untuk membuka mata peminat tempatan melihat bakat nyanyian saya secara lebih mendalam kalau berjaya lolos ke pentas AJL,” kata Shiha yang ditemui ketika menghadirkan diri pada majlis Kesyukuran dan Makan-Makan 14 Tahun Kosmo! baru-baru ini.

Memberi pandangan mengenai lambakan penyanyi masa kini yang muncul umpama cendawan tumbuh selepas hujan menerusi aplikasi seperti Instagram mahupun Smule dan sebagainya, kata Shiha: “Trend muzik ini berevolusi. Kalau dahulu penyanyi berentap dalam program realiti dengan kuasa undian peminat menerusi telefon sehinggalah trend undian dilakukan secara online. Sekarang, sesiapa sahaja boleh mencipta nama dengan hanya menyanyi dalam sosial media.

“Saya pun kagum dengan bakat-bakat baharu yang muncul sekarang. Mereka beruntung kerana berada dalam zaman digital, namun dalam masa sama, mereka juga perlu berhati-hati. Senang naik, senang juga untuk jatuh.”

Rakam lagu dangdut

Melanjutkan bicara, Shiha yang mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat Indonesia usai bergelar pemenang tempat ketiga program realiti, D’Akademi Asia mendedahkan bakal muncul dengan single dangdut sekitar hujung tahun ini.

Katanya, lagu ciptaan komposer seberang, Atra Petrana tersebut akan dilancarkan di Indonesia terlebih dahulu sebelum di Malaysia.

“Dalam beberapa minggu lagi, saya akan terbang ke Indonesia untuk merakamkan lagu berkenaan. Saya memilih untuk merakamkan lagu dangdut sebagai tanda terima kasih terhadap peminat di Indonesia yang banyak menyokong ketika bertanding dalam D’Akademi Asia.

“Saya mahu lihat bagaimana respons di Indonesia dulu. Kalau okey, saya pasti akan bawa lagu itu ke Malaysia juga. Muzik dangdut di sana sangat mendapat sambutan dan itu yang membuatkan saya amat teruja,” kata Shiha yang kini mengendalikan syarikat pengurusan milik sendiri, SZ Empire Entertainment.

Ditanya sama ada dia selesa dengan pilihan merakamkan lagu dangdut memberi maksud bahawa akan ‘melekat’ dengan genre tersebut, Shiha dengan pantas menafikan tanggapan sebegitu.

“Kalau boleh saya suka untuk digelar penyanyi versatil namun jiwa saya tetap pop.

“Satu hal tentang dangdut, di Malaysia ada ramai juga penyanyi dangdut namun peminat lebih suka menularkan karya dangdut dari negara jiran sedangkan lagu tempatan tidak kurang hebatnya,” tuturnya.

Akur akan budaya dangdut di Indonesia yang kebanyakan penyanyi wanitanya berpakaian mencolok mata dan membikin tarian erotik atau menggiurkan, Shiha bagaimanapun mengatakan dangdut yang dibawanya tidak sebegitu.

“Pengurusan di sana pun sudah mengerti pantang larang saya. Mereka akan tetap mengekalkan kesopanan yang saya bawa.

“Kalau ‘goyang’ sekalipun bukan gerudi agresif kerana saya sudah tetapkan garis panduan sebelum setuju merakamkan lagu di sana,” katanya.

Status dengan pengurus

Bercerita tentang hubungan cintanya dengan lelaki bernama Arul, 29, yang dikatakan bertindak sebagai pengurus, Shiha mempunyai beberapa penjelasan yang ingin dibetulkan.

Ujarnya, dia dan Arul sudah hampir 10 tahun berkenalan sejak zaman belajar. Sebenarnya, lelaki berkenaan bukanlah pengurus tetapnya. Dia juga kurang selesa apabila banyak pihak menyifatkan teman lelakinya itu sebagai individu yang menguruskan kerjaya seninya.

“Dia pun ada kerjaya tetap sebagai jurutera. Saya agak ralat apabila orang ramai menganggap dia sebagai pengurus saya. Nasib baik dia okey kerana suka menemani saya memenuhi undangan nyanyian. Saya selesa apabila dia sentiasa ada bersama,” jelas Shiha terbuka soal hati.

Selesa ditemani Arul ke mana-mana majlis, kata Shiha: “Secara rasminya, dia bukan pengurus saya. Sebelum ini orang tulis, saya diamkan sahaja kerana malas ingin membetulkan fakta itu.”

Berbicara tentang perancangan untuk menamatkan zaman bujang, Shiha berkata, dia bersedia melangkah ke arah tersebut pada bila-bila, namun apakan daya, seruan jodoh buat dirinya dengan kekasih belum sampai.

“Kami sudah berbincang. Kalau ingin berkahwin tiada majlis bertunang. Buat masa sekarang, masing-masing mahu fokus kerja dan kumpul wang.

“Kalau ditakdirkan kami bernikah hujung tahun ini atau awal tahun depan, kami sudah bersedia untuk itu,” tutup Shiha yang menginginkan majlis sederhana untuk hari bahagianya nanti.