Dia percaya dengan perkenalan dua hati yang sedang dibina, jika ada jodoh bakal membawa ke satu titik bahagia.

Ironinya, cukuplah perhubungan di fasa perkenalan dengan seorang jejaka tika ini, dikunci kemas dalam hati pelakon berusia 35 tahun itu. Enggan pula, dia mahu menguar-uarkan untuk diketahui seantero dunia.

“Ya, buat masa ini saya sedang mengenali seseorang. Insya-Allah, kalau ada jodoh dengan jejaka itu, saya akan kongsikan,” ujar Sherry yang pernah putus cinta dengan pelakon Ashraf Muslim dan Fattah Amin sebelum ini.

Apa yang lebih melegakan hatinya, keluarga tidak pernah memaksa dan memberi tekanan supaya dia segera berkahwin.

Cukup berbicara tentang cinta, selain berlakon, Sherry juga aktif dalam perniagaan tudung miliknya iaitu Sherry Scarves. Malah, saat ini dia sedang sibuk menyiapkan koleksi ketiga tudung berkenaan.

Cuma, perniagaan Deeja Cosmetics yang diusahakan bersama rakan kongsinya sebelum ini terpaksa dilepaskan atas sebab-sebab tertentu.

Sebelum melanjutkan bicaranya, Sherry akui tidak mahu disalah anggap kenapa menarik diri daripada bisnes kosmetik tersebut.

“Tidak ada masalah apa-apa sebenarnya. Cuma, saya sudah jual bahagian saya dalam bisnes itu. Sudah tiba masanya saya lepaskan bisnes itu,” ulasnya yang mengakui masih aktif berlakon.

Cuma luah Sherry, ada pengarah dan penerbit yang menganggapnya sudah tidak mahu berlakon selepas sibuk dengan urusan perniagaan. Hakikatnya, bidang lakonan sentiasa bertakhta di hatinya.

“Buat masa ini, saya hanya berlakon sebagai penampilan khas menerusi watak Kartini dalam drama Bahagia Bukan Bidaan, untuk slot Samarinda di TV3. Itu sahaja,” ujarnya yang mengakui turut selektif dalam memilih watak.

Menyambung bicara, Sherry mengakui kadang-kadang watak yang ditawarkan kepadanya tidak bersesuaian dengan dirinya.

“Kalau watak yang ditawarkan sesuai dan pelakon-pelakon yang berlakon dalam drama berkenaan okey, Insya-Allah saya akan terima,” ujarnya yang tidak suka bermain dengan watak stereotaip dan mengimpikan watak yang sarat dengan emosi.