Cakap-cakap nakal mengenai keadaan rumah tangga mereka mula tercetus apabila Sharnaaz dan Nabila sering memuat naik kata-kata sedih ke laman sosial Instagram masing-masing.

Spekulasi mengenai keretakan rumah tangga pasangan itu semakin rancak menjadi bahan bualan selepas mereka didakwa sempat menghadiri kaunseling di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sungguhpun khabar angin tidak berhenti bertebaran, namun pasangan itu tidak pernah membuka mulut untuk memberikan justifikasi terhadap status sebenar perkahwinan yang dibina sejak tiga tahun lalu.

Disebabkan hal itu, Sharnaaz yang ditemui pada majlis Iftar Ramadan dan Sumbangan Duit Raya syarikat Megapine Sdn. Bhd. Bersama Anak Yatim Dan Miskin Sri Kundang di Hotel Zenith, Putrajaya baru-baru ini diminta untuk memberikan penjelasan.

Pelakon drama Cinta Bukan Kristal itu menjelaskan, dia tidak pernah membuka cerita bahawa ikatan perkahwinannya bersama isteri pernah mengalami masalah.

Sebaliknya, Sharnaaz atau nama lengkapnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad mengakui, hubungannya dengan Nabila kini dalam proses pemulihan.

Pemulihan

“Saya tidak pernah mengiyakan bahawa rumah tangga kami mengalami masalah. Apa yang boleh saya katakan, kami sedang melalui proses pemulihan,” katanya ringkas.

Menurut Sharnaaz, dia tidak mahu terus berfikir tentang perkara tersebut kerana mahu fokus terhadap anaknya, Jebat Jayden Ahmad yang sedang mengalami masalah kesihatan.

“Jebat disahkan menghidap masalah jangkitan pada saluran kencingnya. Jadi, masa saya sekarang banyak difokuskan terhadap Jebat,” ujar Sharnaaz lagi.

Ditebak adakah masalah kesihatan Jebat menjadi pelincir yang mempercepatkan proses pemulihan hubungannya dengan Nabila, ini jawapan Sharnaaz:

“Mungkin ya, masalah kesihatan Jebat menjadi punca proses pemulihan hubungan kami. Namun, apa pun terjadi, saya reda dengan ketentuan Allah.

“Barangkali, Allah sudah susun dengan baik perjalanan hidup kami,” ujar Sharnaaz yang mengakui bahawa dia dan Nabila bukanlah manusia sempurna.

Bagaimanapun, Sharnaaz masih kabur dengan masa depannya bersama Nabila.

“Saya sendiri tidak tahu apakah kesudahannya kelak.

“Disebabkan itu, saya akan padam komen-komen pengikut dalam Instagram yang asyik bertanyakan perihal isteri,” katanya lagi.

Anak

Beralih tentang isu kesihatan anaknya, Sharnaaz berkata, keadaan Jebat kini stabil setelah beberapa kali dimasukkan ke hospital.

“Kami mula mendapat tahu tentang masalah yang dihadapi oleh Jebat sekitar dua bulan lalu. Mengikut doktor, saluran kencingnya tersumbat. Jadi, Jebat perlu melalui proses rawatan untuk melancarkan kembali saluran kencingnya.

“Dia telah dimasukkan ke hospital beberapa kali sebelum ini. Cuma, pembedahan untuk membetulkan saluran tersebut hanya akan dijalankan pada Khamis lalu,” kongsi Sharnaaz.

Melihat keadaan anaknya yang sering dimasukkan ke hospital, Sharnaaz berasa sangat sedih kerana Jebat perlu melalui proses rawatan pada usia yang sangat kecil.

“Ketika menjalani penggambaran di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini, saya tidak dapat bekerja dengan tenang apabila mendapat tahu bahawa Jebat tidak sihat.

“Tangannya sudah lembik kerana terlalu banyak menerima rawatan. Hati ayah mana yang tidak hancur apabila melihat anak dalam keadaan begitu.

“Namun, saya berasa sangat bersyukur kerana Jebat kini stabil. Asalkan dia sudah boleh senyum, hati saya senang,” ujar Sharnaaz yang mengakui masalah kesihatan anaknya tidak berada pada tahap serius.

Meletakkan Jebat sebagai individu yang paling berharga dalam hidupnya, Sharnaaz berkata, tiada sesiapa pun yang mampu menggantikan tempat anaknya itu.

“Keutamaan saya hanyalah Jebat seorang. Saya tidak peduli dengan seribu orang Nabila asalkan saya ada seorang Jebat.

“Untuk meneruskan kehidupan, cukuplah saya ada keluarga, Jebat dan Nabila di sisi. Orang lain tidak perlu mengganggu hidup kami,” tegasnya lagi.

Berang

Menyentuh mengenai kerjaya seninya, Sharnaaz melahirkan rasa kurang berpuas hati terhadap sebilangan pelakon tempatan masa kini yang dianggap sebagai perosak industri.

“Agak susah untuk bercerita tentang keadaan industri lakonan sekarang. Lebih-lebih lagi apabila ada pelakon secara sesuka hati menurunkan harga bayaran lakonan kerana ketiadaan kerja.

“Pada masa sama, penerbit juga mempunyai opsyen pelakon yang dimahukan dalam drama mereka. Jadi, apabila ada pelakon yang menurunkan harga dengan ketara, sudah tentu penerbit akan memilih pelakon yang dibayar murah.

“Saya lihat perkara tersebut sebagai satu keputusan yang tidak bermaruah. Disebabkan golongan sedemikian, peluang artis lain untuk mendapatkan tawaran lakonan terganggu,” katanya.

Bagi Sharnaaz, dia tidak kisah untuk berbincang atau melalui proses tawar-menawar dalam soal bayaran.

Cuma, peluangnya untuk berlakon menjadi tipis apabila muncul pelakon-pelakon yang bersikap sedemikian.

“Saya tidak kisah untuk berbincang jika naskhah tersebut bagus. Saya juga tidak kisah dibayar sedikit murah jika karya yang ditawarkan benar-benar berkualiti.

“Tetapi, penerbit tetap akan memilih pelakon yang menawarkan harga murah, lebih-lebih lagi dia mempunyai ramai pengikut di Instagram,” ujar Sharnaaz menutup perbualan.