Pengakuan pemilik nama sebenar, Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 33, itu dikongsi menerusi komen yang ditinggalkan dalam laman Instagram pengarah, Shahrulezad Mohameddin.

Sharifah Amani berkata, ketika awal kemunculannya, dia yang mesra di sapa sebagai Nani pernah menimbulkan kontroversi selepas mengaku tidak pandai berbahasa Melayu ketika menerima anugerah.

Tindakannya itu telah mengundang pelbagai kecaman dan disalah tafsir pelbagai pihak.

“Nani dulu pun mengaku bodoh bercakap dalam bahasa Melayu. Nani bagi tahu semua orang bukan mahu berbangga sebaliknya hanya berlaku jujur. Mungkin cara Nani meminta pertolongan silap.

“Pada masa itu Nani teruk dikecam. Masa kena kecam Nani semakin menjauhkan diri dari menggunakan bahasa Melayu dan fobia. Pergi mana-mana orang sentiasa kutuk sehingga takut hendak berbahasa Melayu,” katanya.

Menurut Nani, dia bagaimanapun bersyukur kerana selepas bekerja di bawah pengarahan Shahrulezad menerusi drama Emil Emilda, pengarah itu tidak skeptikal dan tanpa jemu memberikan tunjuk ajar.

“Terima kasih abang (Shahrulezad). Sewaktu itu ada abang, Bahri dan Isma serta semua di set mengajar Nani. Sekarang Nani dah buat teater monolog dalam bahasa Melayu dan berdebat,” katanya.

Tambah pelakon Sepet itu, dia kini telah mampu untuk menggunakan bahasa Malaysia dengan baik tetapi mengakui masih dalam proses pembelajaran.

Terdahulu, pengarah drama islamik fenomena Nur itu memuat naik status berbaur sindiran dengan kapsyen ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ dalam Instagramnya.

Dalam perkongsian tersebut, Shahrulezad berkata, orang Melayu yang terang-terangan bangga mengakui tidak pandai bercakap bahasa Melayu adalah sesuatu yang memualkan. - K! ONLINE