Menurut satu kenyataan akhbar Seniman, kepimpinan persatuan itu telah mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Pengarah AADK, Datuk Dr. Abd. Halim Mohd. Hussin dan pegawai kanan agensi tersebut pagi tadi. 

Pertemuan itu telah mencapai kata sepakat apabila Seniman menawarkan kerjasama untuk mengadakan operasi dan serbuan bersepadu di lokasi penggambaran drama atau filem. 

Hal ini kerana, Seniman komited dan memandang serius berkenaan isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan artis dan ia disambut baik oleh AADK. 

Selain itu, pertemuan tersebut turut merangkumi pelantikan seorang penasihat bagi AADK untuk memberikan sebarang pandangan berkaitan isu dadah yang berkaitan dengan 
industri selain menjalankan pelbagai aktiviti bersepadu termasuk pemulihan, latihan, pencegahan, rawatan dan kajian. 

Malah, Seniman juga mencadangkan untuk mengadakan satu forum berkenaan kesedaran terhadap bahaya dadah dalam kalangan pemain industri yang akan diadakan dalam masa terdekat. 

Orang ramai juga dialu-alukan untuk menggalas tanggungjawab sosial seperti ini demi memartabatkan industri seni bebas daripada najis dadah menjelang 2023. - K! ONLINE