Siri drama lapan episod itu akan ditayangkan bermula 14 Februari depan menerusi saluran saluran premium eksklusif On Demand dan Astro Citra (131).

Ia mengisahkan tentang kehidupan keluarga Latif lakonan Datuk M. Nasir dan empat orang anaknya iaitu Fuad (Ashraf Sinclair), Farid (Remy Ishak), Fahad (Hisyam Hamid) dan Farah (Shenty Feliziana) yang hidup di tempat paling sunyi di Kuala Lumpur.

Di situ, mereka diajar ilmu persilatan seolah-olah sedang bersiap-sedia bagi menghadapi sesuatu yang tidak mereka ketahui.

Hubungan keluarga itu tiba-tiba bergolak selepas Farah berkenalan dengan seorang lelaki Indonesia, Arian (Reuben Elishama) yang datang ke Malaysia untuk bertemu Latif.

DO[S]A menggabungkan barisan pelakon dari tiga buah negara serumpun iaitu Malaysia, Indonesia dan Singapura dan diarahkan oleh pengarah Indonesia, Ifa Isfansyah.

Menurut pelakon kelahiran Malaysia, Ashraf yang kini berpangkalan di Indonesia, dia menyifatkan penglibatannya dalam naskhah itu sebagai sesuatu yang amat bermakna kerana ia membuka ruang kepadanya untuk kembali aktif di Malaysia.

Sejak menikahi penyanyi Bunga Citra Lestary pada tahun 2008, dia berhijrah ke Indonesia dan mula melakar nama di republik berkenaan dengan banyak muncul dalam beberapa naskhah sinetron.

“Selepas 10 tahun, saya rasa ini adalah peluang dan masa terbaik untuk kembali aktif dalam industri tanah air.

“Pada mulanya agak kekok juga berlakon dalam siri DO[S]A sebab lidah saya sudah pekat dengan bahasa Indonesia. Lama-kelamaan saya membiasakan diri dan dapat menyesuaikan diri,” ujarnya yang berasa bangga kerana dapat bekerja dengan nama-nama besar seperti M. Nasir dan Roy Marten.

Cabaran

Berbeza dengan Remy, dia mengakui watak Fahad ada memberi sedikit kelainan dan cabaran memandangkan perlu membawa watak seorang anak yang kuat memberontak.

“Kalau diikutkan, memang agak jarang saya membawa watak yang agresif seperti ini iaitu tidak menjaga bahasa, perlakuan dan buat apa sahaja sesuka hati kerana sering berasa terpinggir berbanding adik-beradik lain.

“Malah, untuk babak aksi juga sangat mencabar sehingga saya mengalami kekejangan seluruh badan sewaktu mula-mula menjalani penggambaran kerana seharian kami melakukan aksi berlawan,” ujarnya yang mempunyai sedikit asas silat selepas kerap terlibat dalam naskhah teater yang menuntutnya bersilat.

Perlu mendalami ilmu persilatan adalah cabaran paling besar untuk Hisyam dalam siri DO[S]A yang membawakan watak sebagai Fahad.

Katanya, disebabkan kekurangan tersebut, dia terpaksa menghabiskan masa selama dua bulan untuk menjalani latihan.

“Tiada ilmu dalam apa-apa bidang, kita memang boleh belajar tentangnya. Itulah cabaran terbesar saya mendalami ilmu persilatan selain perlu bermain dengan beberapa senjata seperti tekpi,” katanya.