Selama lebih sedekad memegang gelaran anak seni, keserasian wajahnya menerusi deretan filem popular seperti Ombak Rindu dan Istanbul Aku Datang membuatkan Lisa berada dalam kelompok pelakon gred A.

Barangkali bilangan drama atau siri yang dilakonkan pemilik nama penuh Lisa Surihani Mohamed itu boleh dibilang dengan jari berbanding dengan kemunculannya dalam naskhah layar lebar.

Mengakui cukup selektif sebelum menerima sesebuah naskhah dengan mementingkan kualiti dan jalan cerita sebagai sebab utama, itu antara faktor mengapa Lisa memilih untuk mengambil bahagian dalam sebuah siri berjudul Jibril terbitan digital platform Viu dengan kerjasama Media Prima Bhd.

Turut dibintangi oleh Aeril Zafrel, Tony Eusoff, Zahiril Adzim dan Sangeeta Krishnasamy, Jibril yang bersiaran selama 10 episod bakal menemui penonton di saluran ntv7 tidak lama lagi.

Menceritakan tentang penglibatannya dalam naskhah arahan Megat Shahrizal itu, aktres filem Legenda Budak Setan tersebut meluahkan perasaan bangga dan terujanya kerana tempoh berehatnya daripada membintangi sebarang siri akhirnya terbayar dengan Jibril.

“Kalau diikutkan, agak lama juga saya tidak berlakon dalam sebuah siri atau drama. Cuma ketika mendapat tawaran Jibril, ada beberapa perkara yang membuatkan saya tidak boleh kata tidak.

“Jalan cerita yang disusun rapi yang berkisar tentang dunia jenayah dan penyiasatan membuatkan saya tertarik untuk menjadi salah seorang pelakonnya.

“Walaupun jujurnya saya pernah terfikir adakah mampu memberi komitmen lebih-lebih lagi ketika sudah bergelar ibu sekarang. Namun ternyata naskhah ini berjaya membuatkan saya kembali dalam siri,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tidak menunggu lama dengan mengambil masa hanya satu jam untuk memberi maklum balas kepada produksi ketika dilamar, jelas Lisa, perkhidmatan video-atas-permintaan (VOD) Over-the-Top (OTT) yang disiarkan platform digital Viu itu juga menjadi salah satu tarikan untuknya membintangi Jibril.

“Ia sesuatu yang baharu di Malaysia. Jadi menerusi persembahan isi kandungan berbeza membuatkan saya melihat ini adalah satu peluang yang tidak boleh dilepaskan sama sekali,” jelasnya yang memegang watak sebagai Mona.

 

Lebih memilih

Tidak pernah mempunyai perancangan tersendiri untuk berehat dalam satu tempoh tertentu, hakikatnya penglibatan pelakon berusia 32 tahun itu dalam Jibril bersangkut rapat dengan faktor-faktor lain.

Katanya, kesinambungan faktor masa, jalan cerita, perjalanan skrip, perwatakan, produksi, pengarah, penerbit dan barisan pelakon perlu dititikberatkan dalam menentukan kualiti dan tanda harga seseorang pelakon.

Jelas aktres filem Suami Mr. Perfect 10 itu, kematangan usia penglibatan dalam industri membuatkan dia kini semakin selektif dalam menentukan hala tuju dan perkembangan kariernya.

“Dalam sepanjang perjalanan kerjaya, ada satu tahap kita sudah sampai ke fasa melakukan perubahan dengan menitikberatkan soal selektif dalam pemilihan naskhah.

“Kadang-kala ada juga disebabkan kita mahu bekerja untuk sesebuah karya kerana sudah selesa dan suka bekerja dengan produksi tersebut. Itu tandanya kita sudah matang dalam menentukan ke mana perginya perjalanan karier itu nanti. Itulah yang saya tekankan sehingga ke hari ini,” ujarnya yang menjadikan seorang individu dikenalinya sebagai rujukan bagi menjiwai watak Mona.

 

Berkongsi ilmu

Di sebalik kesibukannya dengan dunia seni, ibu kepada dua cahaya mata, Yahaira Leanne, 3, dan Yusof Leonne, setahun itu cukup aktif memainkan peranannya dalam menyebarkan suara kepada masyarakat terutama dari segi isu siber terutamanya bagi golongan kanak-kanak.

Dia yang dilantik sebagai duta kepada Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Lisa aktif menyertai banyak kempen dalam menyebarkan kesedaran tentang bahayanya penggunaan gajet kepada anak-anak kecil jika tidak diurus dengan baik oleh ibu bapa.

Lisa juga baru menerima sijil Certified Information Security Awareness Manager (CISAM) yang memperlihatkan peranannya membantu golongan ibu bapa moden menangani masalah penguasaan penggunaan gajet dalam kalangan anak-anak mereka.

“Saya meletakkan diri sendiri di posisi ibu bapa moden dengan wujudnya kemudahan gajet dan internet pada masa kini yang membolehkan apa sahaja mudah diakses di hujung jari.

“Meskipun ada sesetengah tips ibu bapa zaman dahulu masih relevan dan boleh dipraktikkan pada masa sekarang, namun kita perlu sedar ada antaranya tidak boleh digunakan kerana perubahan zaman.

“Dengan adanya sijil ini, saya bersedia untuk berkongsi ilmu bersama ibu bapa di luar sana dalam memahami apa itu informasi sensitif di alam maya,” ujarnya yang diiktiraf untuk memberi latihan dan bengkel kepada golongan ibu bapa dalam isu berkaitan.