Bahkan, sambutan luar biasa penggemar seni filem menjadikan ia salah satu filem ‘underdog’ yang diangkat menjadi francais apabila dibikin sekuel kedua pada tahun 2015.

Peminat filem komedi muzikal terutama yang meminati muzik acapella sudah pastinya tidak sabar menanti kemunculan sekuel ketiga Pitch Perfect yang mula ditayangkan pada 28 Disember lalu.

Begitupun, peminat rangkaian Pitch Perfect dinasihatkan agar tidak terlalu meletak harapan tinggi terhadap edisi terbaharu tersebut kerana bimbang akan berasa hampa apabila meninggalkan panggung wayang.

Pitch Perfect 3: Last Call Pitches masih mengekalkan barisan pelakon seperti Anna Kendrick, Rebel Wilson, Hailee Steinfeld, Brittany Snow, Anna Camp, Hana Mae Lee, Alexis Knapp, John Michael Higgins dan Elizabeth Banks.

Selaku pengarah filem, Trish Sie dilihat gagal menggarap garis masa jalan penceritaan Pitch Perfect 3: Last Call Pitches sebaik dua siri terdahulu yang berkisar tentang semangat setiakawan kumpulan The Bellas.

Dalam filem terbaharu berkenaan, kumpulan The Bellas bersatu semula buat kali terakhir selepas tamat pengajian kolej apabila masing-masing terikat dalam dunia realiti dengan kerjaya mereka.

Mereka telah bersatu untuk mengadakan persembahan terakhir mengikuti jelajah United Service Organizations (USO) di Eropah.

Tatkala mengikuti jelajah tersebut, The Bellas perlu berpadu suara bertanding bersama kumpulan-kumpulan lain menggunakan peralatan muzik untuk terpilih sebagai kumpulan pembuka tirai kepada artis terkenal DJ Khaled yang memegang watak sendiri dalam filem terbaharu berkenaan.

Begitupun, tidak seperti menerusi dua filem terdahulu, Pitch Perfect 3: Last Call Pitches yang cuba memberi kelainan kepada audiens bagaikan kurang memberi penekanan terhadap pertandingan serta semangat juang yang ditonjolkan The Bellas.

Ia lebih berkisar kepada dua watak sahabat baik iaitu Beca Mitchell (Kendrick) dan Patricia Fat Amy (Wilson) yang berdepan konflik perasaan terhadap kerjaya serta masalah keluarga.

Bahkan, tumpuan yang ditonjolkan pengarah terhadap kemelut Patricia Fat Amy bersama ayahnya, Fergus (John Lithgow) boleh mengubah persepsi audiens, sama ada filem berkenaan merupakan genre komedi muzikal atau aksi.

Alasannya mudah, plot kemelut membabitkan Patricia Fat Amy bersama Fergus yang berlarutan telah mengakibatkan The Bellas diculik malah Patricia Fat Amy perlu menunjukkan kemahiran seni mempertahankan diri bersama Beca Mitchell untuk menyelamatkan rakan-rakan mereka daripada cengkaman bapa sendiri.

Secara keseluruhan, Pitch Perfect 3: Last Call Pitches tidak menepati jangkaan untuk sekurang-kurangnya menandingi kehebatan dua filem terdahulu.

Bagaimanapun, watak Patricia Fat Amy yang masih ‘gila-gila’ dan pemilihan lagu-lagu seperti Toxic, Universal Fanfare, Cheap Thrills, Get the Party Started, Let Me Ride, Wake Me Up dan Zombie dilihat benar-benar menjadi penyelamat kepada Pitch Perfect 3: Last Call Pitches.