Namun begitu, lelaki yang cukup sinonim dengan panggilan nama Mus May itu nekad dengan keputusannya. Alasannya, dia sudah tidak mampu menjalankan tanggungjawabnya selaku vokalis kepada kumpulan yang dianggotai oleh Man, Yus dan Abu itu.

Menurut Mus atau nama sebenarnya, Mustaffa Din, 51, ketika ditemui pada sidang akhbar KL Rhythm Nitez: Konsert Rockestra Lagenda, dia tidak akan lagi menggunakan nama Mus May dan kini dalam proses mencari nama komersial yang baharu.

Menafikan bahawa terdapat masalah bersama ahli lain sehingga membuat dia keluar daripada kumpulan, Mus berharap ahli May yang tinggal akan meneruskan perjuangan kumpulan itu dengan vokalis baharu.

KOSMO!: Apakah punca sebenar anda mengundurkan diri daripada kumpulan May?

MUS: Punca utama adalah disebabkan masalah kesihatan saya yang sudah tidak sebaik dahulu. Sejak sedar daripada koma sebulan pada tahun lalu, stamina saya memang kurang. Saya tidak mampu lagi untuk mengadakan persembahan sehingga berjam-jam dan menyanyikan lebih 10 buah lagu. Perkara tersebut tidak adil buat anggota lain kerana ini adalah punca pendapatan mereka, jadi tarik diri daripada kumpulan May sejak Januari lalu.

Berapa lamakah masa yang anda ambil untuk membuat keputusan ini?

Saya mendiamkan diri daripada Man, Yus dan Abu selama sebulan sebelum memberitahu saya nekad keluar kumpulan. Persembahan terakhir kami sebagai kumpulan adalah pada Disember tahun lepas di Konsert Metal Return 1.0 Live XPDC May di Ipoh, Perak.

Adakah anda dan anggota lain berbalah sehingga keputusan keluar kumpulan diambil?

Tidak, kami masih baik dan saya mahu hubungan kekal begitu. Memang pada mulanya mereka agak terkejut dan terasa hati dengan penarikan diri saya, tetapi selepas menjelaskan keadaan sebenar, mereka boleh menerima keputusan tersebut. Saya tidak mahu hubungan persahabatan putus kerana sudah lama kami bersama.

Bagaimana pula dengan penggunaan nama Mus May selepas ini?

Saya akan berhenti menggunakan nama Mus May kerana sudah hilang hak menggunakan nama May itu sendiri apabila mengambil keputusan keluar kumpulan. Saya kini sedang dalam proses untuk mencari nama panggilan komersial yang baharu.

Boleh kongsikan perancangan kerjaya anda selepas bergerak solo?

Saya memang ada merancang untuk mengeluarkan single baharu dan masih menerima tawaran persembahan solo untuk mana-mana acara korporat. Saya masih boleh menyanyikan beberapa buah lagu May yang saya cipta sepanjang bersama kumpulan itu seperti Dari Kaca Mata, Hakikat Pejuangan dan Sinar.