Taruhan lakonan pemilik nama sebenar Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim itu dapat ditonton menerusi drama terbaharunya, Kau Yang Pertama.

Drama yang bersiaran di slot Akasia TV3 itu menyaksikan Fikry kembali bergandingan dengan heroin drama bersiri Cik Reen & Cik Ngok Ngek, Farah Nabilah.

Jelas jejaka berasal dari Kedah itu, kesediaannya menjayakan watak lelaki lembut adalah atas kapasiti menyuntik perbezaan dalam drama lakonannya.

Ikuti perkongsian Fikry mengenai keserasian bersama Farah dan kesukaran menjayakan watak Farhan.

KOSMO!: Bagaimanakah keserasian Fikri bersama Farah selepas bergandingan buat kali kedua?

FIKRY: Saya menjayakan watak sebagai Farhan, manakala Farah Nabilah sebagai Rose Natasha. Projek ini menyaksikan kali kedua kami bergandingan selepas drama Cik Reen Cik Ngok Ngek.

Saya selesa bekerja dengan Farah kerana keserasian kami. Dia juga komited dan kami saling memahami antara satu sama lain. Dalam drama Kau Yang Pertama, buat julung-julung kalinya saya membawakan watak lelaki lembut, tetapi tidak berlebihan. Bagi saya watak lelaki lembut cukup mencabar.

Sementara Farah pula lebih sarat dengan sisi humor dalam drama ini.

Mengapakah anda sanggup membawakan watak berkenaan?

Pada mulanya saya membawa watak ini sebagai lelaki normal atau hero yang sering dipaparkan dalam drama lain.

Malangnya, saya tidak nampak kelainan. Selepas berbincang, kami menukar watak Farhan menjadi lelaki lembut, tetapi tidak berlebihan.

Sebenarnya tidak mudah untuk saya menjayakan watak tersebut. Terdapat babak yang terpaksa dilakukan berulang kali kerana perwatakan lembut yang berlebihan.

Bagaimanakah reaksi peminat terhadap lakonan anda?

Alhamdulillah, peminat suka dengan watak tersebut. Ada juga komen negatif, tetapi tidak banyak dan masih boleh dikawal.

Namun, terdapat pihak yang mempertikaikan seksualiti saya. Jangan risau, saya masih lelaki normal.

Apakah reaksi anda selepas ramai mempertikaikan babak bersentuhan dalam drama tersebut.

Saya terima teguran semua dan memohon maaf. Saya manusia biasa. Kenyataan saya berkaitan tidak mahu menyentuh pelakon wanita dalam drama sebelum ini telah disalahtafsir oleh pihak-pihak tertentu.

Sehingga kini, saya masih berpegang kepada prinsip untuk tidak memuat naik gambar wanita tidak bertudung dalam Instagram.

Cuma janganlah kerana kesalahan itu keluarga saya turut dihentam. Saya harap cukuplah semua kecaman ditujukan kepada saya seorang.

Apakah projek seni terbaharu anda?

Saya mungkin akan berlakon di bawah arahan Rashid Sibir dan penggambaran akan dilakukan di India.

Sementara itu, saya juga sedang mencari peluang berlakon dalam filem. Saya mahu penampilan sulung dalam filem mampu meninggalkan impak dalam industri. Jika boleh, saya dambakan watak jahat dan psiko.