Tulisnya pada gambar tersebut: The star is stil bright even in the dark (bintang masih bersinar walaupun dalam kegelapan).

Apa jua yang cuba dilakukan Fathia ketika ini, ternyata pelakon yang popular menerusi drama rantaian Dia Isteri Luar Biasa itu belum menamatkan kisah sensasinya.

Minggu lalu, Fathia yang sempat ditemui Kosmo! pada sidang akhbar Mood Republik 2019 ada bertegas, enggan kisah lama terus diungkit khalayak.

Katanya, dia tidak terdesak untuk menunggu sebarang tawaran berlakon demi kelangsungan kerjaya seninya.

Menurut pemilik nama lengkap, Nur Fathia Abdul Latiff itu, dia sedang dalam usaha untuk merealisasikan impiannya bergelar penerbit.

Untuk bergerak ke arah itu, dia bakal muncul dengan program bual bicara sendiri menerusi Instagram yang menumpukan hal berkaitan pemakanan.

Fathia, 31, berkata, dia masih mendapat tawaran berlakon namun terpaksa menolak kerana mahu fokus terhadap perniagaan terutama jenama Nona Manis by Fathia Latiff yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

KOSMO!: Boleh ceritakan penglibatan Fathia dalam Mood Republik 2019 pada tahun ini?

FATHIA LATIFF: Saya akan memperkenalkan tudung jenama Nona Manis by Fathia Latiff untuk Mood Republik kali ini. Kalau sebelum ini saya jual tudung Dara by Fathia Latiff, tahun ini koleksi itu direhatkan sebentar bagi memberi laluan terhadap koleksi tudung baharu ini. Nona Manis diusahakan saya sendiri daripada A ke Z termasuk dari segi bajet.

Adakah anda masih menyifatkan diri anda sebagai seorang pelakon?

Saya masih aktif dalam bidang seni. Saya tidak merajuk atau membawa diri. Cuma bezanya sekarang, saya tidak lagi selalu muncul menerusi televisyen.

Tawaran berlakon masih ada cuma saya tidak dapat memberikan komitmen kerana mahu fokus terhadap perniagaan. Tambahan pula, saya akan muncul dengan program bual bicara berkaitan makanan di laman sosial (Instagram).

Sudah tiba masanya untuk saya mencuba sesuatu yang baharu dan tidak terlalu bergantung terhadap karier lakonan. Saya ingin membuktikan bahawa saya masih relevan dalam industri walaupun tidak lagi aktif berlakon.

Adakah anda masih terkesan dengan segala kontroversi yang menimpa sebelum ini?

Saya sudah malas fikir hal lalu. Saya tidak mahu terus dihukum atas keburukan yang berlaku sebelum ini. Apa yang berlalu, biarlah berlalu. Saya sudah belajar daripada kesilapan. Saya sebenarnya sakit hati dengan mana-mana penulis blog tidak bertauliah yang sesuka hati menulis tentang diri saya tanpa meminta kenyataan daripada saya.

Saya mungkin banyak melakukan kesilapan sebelum ini namun itu tidak bermakna mereka boleh terus bercakap buruk tentang saya.

Sejujurnya, masihkah ada rindu terhadap zaman aktif berlakon, ketika anda disanjung tinggi sebagai seorang pelakon?

Rindu dan saya yakin waktu itu akan kembali suatu hari nanti. Cumanya sekarang waktu belum mengizinkan. Seperti yang saya katakan, saya mahu fokus dengan perniagaan dan lakukan apa yang disukai daripada terus memberi kepuasan tidak berfaedah kepada orang lain.

Adakah anda sebenarnya sudah muak atau mengalah dengan industri seni?

Saya tidak muak atau mengalah. Saya mahu terus berlakon cuma peluang yang sesuai akan tiba suatu hari nanti. Kalau orang kata saya muak dengan industri, itu pendapat mereka sahaja dan saya tidak mahu ambil pusing dengan hal itu. Khalayak mungkin fikir saya akan terus menemui jalan buntu untuk ‘masuk’ semula dalam industri sedangkan saya sentiasa mahu melakukan sesuatu di luar kotak pemikiran. Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu seperti bidang penerbitan. Insya-Allah.