Setiap kali bercuti termasuk ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Mekah, Che Ta akan memastikan rakaman foto kenangan dimuat naik dalam laman sosial sebagai memori peribadi.

Pada hemat jelitawan berusia 45 tahun itu, niatnya yang merakam gambar di Mekah dan Madinah bukan untuk menunjuk atau berbangga namun hanya sekadar berkongsi pengalaman bersama peminat yang ada.

Oleh sebab itu, apabila terdapat artikel Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi menegur trend menjadikan Mekah suatu lokasi untuk berfesyen beberapa minggu lalu, ia tidak memberi kesan kepada Che Ta secara peribadi.

“Pada saya, artikel itu sekadar mengingatkan dan tidak memetik nama mana-mana artis jadi tidak terasa pun. Agak pelik juga bila orang terfikir nama saya seorang sedangkan ramai lagi artis yang pernah ke sana.

“Niat saya memuat naik gambar kenangan di Mekah dengan harapan ia memberikan motivasi kepada mereka yang belum pernah sampai dan mengubat kerinduan pada ingin mengunjungi rumah Allah itu sekali lagi.

“Ada masanya, kita perlu menilai perbuatan seseorang dengan mata hati dan bukan mata kasar semata-mata,”jelasnya ketika ditemui pada majlis pelantikan Che Ta selaku duta produk Nell Aesthetica Conception Age Lock Concentrated Serum di Royale Chulan Damansara, baru-baru ini.

Terbiasa

Pelakon Kiah Pekasam itu turut memberitahu bahawa penampilan dan gaya hidupnya yang sentiasa tampil cantik serta elegan adalah kerana dia sudah terbiasa dengan rutin seperti itu.

Tidak menyalahkan orang lain dengan keinginan dirinya yang gemar tampil bergaya, Che Ta berkata dia memilih cara sebegitu mengikut kemampuan diri selepas bekerja keras selama ini.

“Ada yang pernah mengatakan susahnya jadi Che Ta, asyik kena jadi cantik. Pada saya cantik itu subjektif dan saya seorang yang akan menjadi lebih yakin untuk berhadapan dengan orang ramai jika penampilan saya terjaga.

“Tidak susah jadi saya jika anda juga memiliki perangai seperti saya yang memang mengambil berat soal wajah, pakaian dan susuk tubuh. Jangan pernah ikut cara orang kerana cita rasa dan kemampuan kita semua tidak sama. Apa yang penting kita perlu yakin diri,” jelasnya lagi.

Selain sibuk dengan perniagaan, Che Ta memberitahu dia akan terbang ke London sekitar 9 Mac depan untuk menyambut hari lahir bersama anak-anak tetapi kali ini, suaminya, Zain Saidin tidak akan bersama mereka.

“Pada minggu sama saya ke London, Zain mempunyai urusan perniagaan di China jadi saya sudah meminta izinnya untuk ke London. Cuma saya berasa sedikit tidak seronok kerana suami tiada bersama,”katanya lagi.