Mengejutkan namun dalam masa sama, bukan sesuatu yang menghairankan, bintang Arianna Rose itu mengakui, stail berambut pendek yang digayakan tempoh hari adalah imej terbaharunya selepas tidak lagi bertudung sejak beberapa hari lalu.

Pemilik nama Nur Fathia Abd. Latiff, 32, itu mengakui gembira dengan kehidupan dan imej terkininya kerana selama mengenakan hijab sebelum ini, hidupnya penuh dengan cabaran sehingga membenam dirinya ke lembah depresi.

Dakwa Fathia, selama ini dia berperang dengan perasaan sendiri kerana hidup berpura-pura dan hipokrit.

KOSMO!: Fathia, anda sekarang sudah tidak mengenakan hijab dan adakah imej ini menjawab teka-teki gambar yang dimuat naik di Instagram beberapa hari lalu?

FATHIA LATIFF: Ya, saya gembira dengan hidup saya. Saya rasa bersyukur dan boleh jadi diri sendiri. Saya sedar sebelum ini keputusan berhijab dilakukan kerana saya sedang mengalami patah hati. Pendek kata, saya bertudung sebab manusia dan bukannya kerana Allah. Jika kita buat sesuatu kerana manusia, perkara itu tidak akan kekal lama. Sepanjang tempoh pakai tudung, saya tidak menjadi diri sendiri dan saya tidak suka dengan perasaan sebegitu. Seolah-olah langkah saya tersekat.

Boleh komen lanjut tentang maksud tidak menjadi diri sendiri?

Saya sudah cuba dan berusaha, bukannya tidak pernah. Tetapi selama bertudung, itu bukan diri saya yang sebenar. Lama-kelamaan, situasi itu membuatkan saya berdepan depresi sehinggalah perasaan itu membawa saya ke arah kegelapan sedikit demi sedikit. Saya sudah cuba untuk jadi seperti orang normal tetapi gagal. Saya sendiri tidak tahu kenapa. Tetapi selepas buka hijab, saya rasa bebas dan selesa. Saya tidak mahu hipokrit. Maksudnya, saya perlu jujur dan jadi diri sendiri. Selepas buka tudung, saya rasa seperti hidup semula.

Dari mana anda mendapat kekuatan untuk tampil dengan imej sebegini di depan khalayak?

Ketika pakai tudung tanpa perasaan ikhlas, saya dapat rasa busuk hati. Tetapi selepas buka tudung, saya kenal diri sendiri.

Jadi, saya sudah tidak ada sebarang rasa takut untuk berhadapan dengan orang luar.

Dua tahun lepas, saya masih dapat kawal perasaan ini, tetapi sekarang semuanya hilang. Saya gagal menemui jawapan yang dicari kerana niat bertudung dilakukan kerana manusia. Buat masa sekarang, saya masih mencari. Saya selalu dengar cerita ada orang pakai tudung kerana Allah. Jujur saya akui sangat kagum dengan golongan seperti ini sebab hal itu bukan satu hal yang mudah untuk dilakukan. Saya sudah melalui fasa itu dan sangat mencabar.

Apa pula komen anda jika keputusan tanggal tudung menerima kecaman?

Sejak saya kongsikan gambar di Instagram pada Ahad lalu, sudah ada komen negatif yang hinggap. Saya tidak dapat kawal semua itu. Saya harap netizen yang mengeji akan dapat mencari kebahagiaan mereka sendiri.

Boleh komen sedikit tentang potongan rambut pendek yang anda gayakan?

Saya sukakan imej begini sebab itu saya potong pendek. Biarpun dahulu saya berambut panjang, tetapi saya tidak kisah pun. Saya sangat sukakan gaya ini.

Bagaimana dengan karier anda setakat ini?

Buat masa sekarang saya memang tidak buat apa-apa pun. Apa yang saya perlu lakukan sekarang adalah untuk mengembalikan semula kekuatan diri.