Terbaharu, kerana jubah yang dipakai oleh Che Ta, 46, sewaktu melawat pesakit di Hospital Sungai Buloh, Selangor baru-baru ini, seorang doktor pakar, Datin Dr. Halina Mohd. Yunos yang juga isteri kepada angkasawan pertama negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie Sheikh Mustapha meninggalkan komen berbaur kecaman dalam Instagram miliknya.

Menurut komen tersebut pakaian yang dipakai Che Ta dikatakan tidak sesuai kerana mempunyai bulu dan boleh menyebarkan kuman terutama apabila foto yang dimuat naik menunjukkan pelakon Kiah Pekasam itu duduk di atas katil bersebelahan pesakit.

Berasa tidak puas hati dengan tuduhan tersebut, Che Ta tampil memberikan penjelasan tentang jubah yang dipakai dan tujuan sebenar dia melawat hospital berkenaan sewaktu ditemui pada sesi rakaman sitkom JKK Raya di Sri Pentas 2, Shah Alam, baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh Che Ta jelaskan apakah yang berlaku sebenarnya berkenaan isu komen doktor itu?

CHE TA: Doktor itu menuduh saya memakai baju jubah yang mempunyai bulu dan kononnya boleh menyebarkan kuman kepada pesakit selepas saya memuat naik gambar ketika melawat Hospital Sungai Buloh baru-baru ini. Saya tidak kisah ditegur, tetapi janganlah semberono sahaja. Saya memakai jubah bermanik, bukan berbulu. Jangan cepat sangat membuat tuduhan jika tidak tahu perkara sebenarnya.

Apakah tujuan anda melawat hospital berkenaan?

Saya hadir atas jemputan pihak hospital yang bertanya jika saya mempunyai masa untuk melawat pesakit di sana.

Saya pergi kerana kebetulan lokasi hospital itu dekat dengan pejabat saya dan saya mempunyai masa terluang.

Adakah pesakit mengetahui bahawa anda akan membuat lawatan?

Ya, pihak hospital sudah bertanya terlebih dahulu siapa mahu dilawat dan siapa yang tidak mahu.

Saya tahu adab melawat orang sakit. Tidak mungkin saya sesuka hati mahu duduk di atas katil orang jika tiada kebenaran daripada mereka sendiri.

Adakah anda dibayar untuk melawat pesakit di hospital itu?

Tidak, mana-mana hospital yang jemput pun saya tidak kenakan bayaran kerana ini aktiviti amal. Sekiranya kehadiran saya sedikit sebanyak boleh mengurangkan rasa sakit mereka, maka itulah bayaran yang saya mahukan.

Apakah yang anda pelajari daripada insiden tersebut?

Saya nasihatkan sesiapa yang tidak suka atau kurang senang dengan lawatan artis ke mana-mana hospital, tujukan komen anda kepada pihak hospital.

Jangan hanya kerana kami selebriti maka semuanya salah. Paling saya rasa lucu, doktor itu tidak mengikuti saya dalam laman sosial dan tiba-tiba sahaja mahu tinggalkan komen sebegitu.

Tidak sangka ada juga doktor yang berperangai begitu, mereka sepatutnya lebih cerdik daripada selebriti seperti saya.