Malah, rentetan daripada kes tersebut, Izreen tidak pernah lekang daripada menjadi mangsa kecaman dan cemuhan netizen hinggakan dirinya telah disenaraikan oleh sebuah portal tempatan sebagai Lapan Kontroversi Artis Paling Hangat 2017 bersama-sama beberapa barisan artis lain termasuk Fathia Latiff dan Hafiz Hamidun.

Baru sahaja membuka tirai tahun 2018, timbul pula gosip terkini kononnya sekeping foto yang memaparkan sebuah kereta yang disembur cat merah dengan tulisan ‘Perampas Laki Orang’ di laman sosial didakwa oleh netizen adalah milik Izreen.

Bagaimanapun, Izreen sudah tampil memberi penjelasan dan menafikan kereta itu miliknya.

“Itu bukan kereta saya, malah tidak memiliki kereta Honda Civic berwarna putih. Lagipun gambar tersebut sudah lama tular di laman sosial,” ujarnya ketika diminta untuk memberi penjelasan mengenai imej tular tersebut oleh Sensasi Bintang baru-baru ini.

Ditebak pertanyaan adakah selepas ini dia akan lebih berhati-hati dan bertindak untuk membuat laporan polis sekiranya dihambat kontroversi dalam menjaga keselamatannya pada masa akan datang, ringkas sahaja jawapan yang diberikan Izreen.

“Selagi keadaan okey, tiada sebarang ancaman. Insya-Allah semua boleh dikawal lagi,” jelas pelakon drama rantaian 7 Suami itu.

Dengan kontroversi yang melanda anak kelahiran Kangar, Perlis itu, tidak lengkap rasanya sekiranya tidak menitipkan soalan berkaitan gosip peribadinya sedikit sebanyak memberikan tempias kepada portfolionya sebagai pelakon.

“Kontroversi yang menghimpit saya langsung tidak menjejaskan kerjaya seni. Setakat ini, semua pihak produksi senang bekerja dengan saya memandangkan tiada masalah sikap di lokasi.

“Lagipun, mereka sangat memahami. Itu masalah peribadi dan tiada sangkut paut dengan kerja,” jelasnya yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi Anugerah Skrin 2013.

Dalam perkembangan lain, Izreen kini sibuk menjalankan penggambaran projek terbaharunya untuk slot Ramadan yang bakal ditayangkan di Radio Televisyen Malaysia.

“Saya sekarang sedang menjalani penggambaran drama berjudul Geng Tadarus untuk 26 episod, malah saya juga baru sahaja selesai penggambaran drama Orang London Balik Kampung untuk 13 episod,” ujarnya yang turut memaafkan serta mendoakan yang terbaik untuk netizen.