Ekoran kejadian tersebut, Farid telah ditahan reman selama enam hari bagi membantu siasatan berhubung empat pertuduhan jenayah termasuk menampar anggota polis di balai polis sama dan disyaki mengambil dadah jenis ganja.

Sepanjang tempoh enam hari yang jarang-jarang sekali berlaku kepada artis berprofil tinggi negara sebelum ini, nama Farid menjadi sebutan dan topik perbualan hangat dalam kalangan peminat seni hiburan tanah air.

Setelah dibebaskan dengan ikat jamin pada 16 Januari lalu, Farid kemudian menarik perhatian khalayak dengan dua laporan polis yang dibuat di Balai Polis Pantai, Lembah Pantai di sini pada 18 Januari dan Balai Polis Damansara, 31 Januari.

Laporan pertama dibuat bertujuan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang adiknya, Dr. Anis Anwar Zahari akan masuk ke kediaman mereka di kondomi­nium Casa Tropicana, Damansara untuk mengambil barang peribadinya di sana.

Laporan kedua pula melibatkan kejadian sebelum, semasa dan selepas dia ditahan di Balai Polis Kota Damansara, Petaling Jaya, Januari lalu.

Selain kisah kontroversi yang melanda, drama rantaian terbaharu lakonannya bersama pelakon Nelydia Senrose, Lafazkan Khalimah Cintamu di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) mendapat sambutan hangat di kaca televisyen.

Memandangkan Farid kini telah dibebaskan, aktiviti seninya juga kembali seperti biasa. Farid tidak betah memenuhi tuntutan kerja apabila muncul dalam program bual bicara hiburan secara langsung, MeleTOP pada 13 Februari lalu bagi mempromosikan drama lakonannya.

Dihoskan oleh aktres jelita, Erra Fazira dan Datuk Awie, Farid meluahkan kesyukurannya setelah dibebaskan daripada tahanan reman.

Sejak dibebaskan dan menunggu perbicaraan kesnya di mahkamah pada 5 Mac nanti, kemunculan tersebut merupakan penampilan sulung Farid di kaca televisyen.

Hadir bergaya dengan potongan rambut pendek, Farid ketika mengulas situasinya sekarang, sekadar memberitahu, semuanya dalam keadaan baik selain mengucapkan terima kasih atas sokongan ahli keluarga, seluruh peminat dan rakan artis sepanjang tempoh dalam tahanan polis.

“Saya berasa bersyukur dan berterima kasih kepada ahli keluarga, peminat dan rakan artis yang banyak memberikan sokongan, secara tidak langsung memberi kekuatan untuk mengharungi dugaan ini,” kata pelakon filem yang terkenal menerusi watak Kashah dalam filem Legenda Budak Setan itu.

Tambah suami kepada Diana Danielle itu, tempoh enam hari ditahan reman bukan sahaja memberinya ruang muhasabah diri tetapi memperoleh pengalaman bermakna yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

“Kejadian tersebut membuatkan saya semakin mengenali diri, daripada sekecil perkara sehingga sekarang. Ia juga pengalaman berharga yang tidak boleh dibeli,” jelas Farid saat disoal oleh Erra mengenai keadaannya.

Dalam pada itu, Farid turut menyatakan, siasatan terhadap empat dakwaan ke atasnya kini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“Syukur semua dalam siasatan polis,” jawab Farid ringkas.

Empat kes dihadapi Farid ialah mendatangkan kecede­raan yang disiasat mengikut Sek­syen 323 Kanun Keseksaan, menampar polis disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967, penggunaan dadah disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan mengganggu tugas penjawat awam disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan. 
– NURUL FADILA AWALUDIN