Buktinya, lihat sahaja apa yang dimuat naik mereka berdua di laman sosial, ada sahaja netizen yang memberikan respons, baik dari segi penjagaan anak, fesyen atau apa sahaja yang dilakukan pasangan dua sejoli ini.

Ruangan komen laman sosial mereka pasti dihujani komen negatif mahu pun positif daripada peminat.

Baru-baru ini, suhu termometer hangat seketika gara-gara sekeping gambar yang dimuat naik Scha di laman Instagramnya.

Kebanyakan netizen mempersoalkan baju yang dipakai oleh Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir itu kerana ia jarang dan tampak seksi meskipun Scha telah memakai baju dalam atau inner warna kulit.

Bagi mereka, dengan mengenakan inner warna kulit sebegitu, ia boleh mengundang fitnah.

Bagi mendapatkan komen mengenai isu ini, Sensasi Bintang cuba menghubungi pelakon cantik yang pernah membintangi sebuah drama berjudul Awan Dania suatu ketika dahulu dan ini jawapan yang diberikannya.

“Fitnah itu datang daripada pandangan dan fikiran masing-masing walaupun mereka sendiri sedia maklum ada inner,” ringkas jawapan yang diberikannya.

Sering menghambat kritikan, Scha ditebak persoalan adakah dia melenting apabila dihujani kritikan begitu atau pun sudah kalis dengan setiap kecaman yang ditujukan kepadanya.

“Alhamdulillah, setakat ini, saya memang susah nak terkesan dengan komen-komen yang dilemparkan netizen kepada saya. Setakat ini masih lagi okey,” jelasnya.

Akur dengan jawapan yang diberikan, Scha ditanya pula mengenai sebuah video yang dimuat naiknya di Instagram.

Video anaknya, Lara Alana semasa kecil dengan kapsyen; ‘Orang tua-tua kata kalau main air liur ni tandanya nak dapat adik. Nah dia main air liur 3 tahun lepas’, turut mengundang pelbagai komen termasuk ada netizen beranggapan Scha seperti memberi bayangan bakal menimang cahaya mata kedua.

Malah, ada juga yang mengucapkan tahniah dan gembira Lara akan mendapat seorang adik.

“Sejujurnya, saya saja memuat naik video berkenaan sebab rindukan suasana ketika Lara masih kecil. Sejak akhir-akhir ini memang selalu tengok videonya semasa kecil. Buat masa sekarang masih belum ada rezeki,” katanya.

Bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Scha yang memulakan kerjaya seni profesional pada 2006 memberitahu, dia baru selesai menjalani penggambaran drama web series untuk Astro Gempak arahan Michael Ang.

Selain itu, dia juga bakal muncul sebagai hos untuk program Pencarian Dewi Remaja 2018/19 untuk Astro Ria.