Kata Dayana atau nama sebenarnya, Nur Dayana Kamsun Baharin, sesi fotografi produk kecantikan miliknya iaitu Dermaganic bertujuan untuk tujuan promosi bukan semata-mata ingin mencetus kecaman.

“Konsepnya ‘less is more’. Mungkin agak lari sedikit daripada apa yang orang Melayu buat.

“Saya masih berbaju dan saya pun tahu batasnya. Saya juga faham benda ini kadang-kadang terlalu sensetif namun jujur saya katakan, tiada niat untuk mencetuskan kemarahan,” kata Dayana, 28, ketika ditemui Kosmo! pada majlis pra-tonton filem lakonannya, Kron di sini sebentar tadi. 

Ditanya sama ada dia tertekan dengan kecaman yang diterima, Dayana menafikan hal tersebut.

“Kita buat buruk sikit, mesti orang kecam. Setiap orang ada pandangan dan pemikiran masing-masing dan saya hormati perkara itu.

“Saya juga mohon orang hormat pendirian dan pendapat saya. Seperkara lagi, kalau saya berhijab dan muat naik aksi seperti itu, mungkin itu sudah terlampau.

“Apapun, saya memohon maaf andai apa yang saya lakukan menyebabkan orang di luar tersinggung hati,” kata Dayana lagi.

Kron merupakan filem arahan Opie Zami yang bakal ditayangkan bermula 22 Ogos ini. Selain Dayana, filem tersebut turut dibarisi Zahiril Adzim, Aman Graseka dan Mamak Puteh. - K! ONLINE