Menurut Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chek, beliau tidak mahu menjadi hipokrit tentang hubungannya bersama Shahir tetapi dalam masa sama mengharapkan doa terbaik daripada peminat tentang jodohnya kelak. 

“Apa sahaja masalah peribadi Shahir, itu adalah bahagian dia. Saya cuma jawab jika orang tanya kami masih berkawan atau tidak kerana memang betul sehingga kini hubungan kami baik. 

“Siapalah saya untuk menentukan jodoh sendiri kerana dengan Shahir sekali pun saya tidak pernah memberikan sebarang pengesahan tentang sejauh mana hubungan ini akan berakhir atau dalam erti kata lain soal perkahwinan. Segalanya saya tentukan kepada aturan Tuhan. 

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin dengan soal pasangan hidup sehinggakan memberi nasihat untuk mencari lelaki lain yang lebih baik. Cuma saya berharap agar peminat mendoakan yang terbaik kerana saya sendiri pun tidak tahu apa aturan yang ditetapkan Tuhan dalam hidup saya selepas ini” ujarnya pada majlis sidang media pengumuman khas beliau menyertai syarikat pengurusan baharu MindOrder Management di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor sebentar tadi. 

Malah, dalam masa sama aktres berusia 44 tahun itu menafikan mempunyai masalah dengan pihak pengurusan lama sehingga membuatkan beliau menyertai syarikat  pengurusan MindOrder Sdn. Bhd. di bawah anak syarikat MindOrder Management pada awal Januari lalu. 

Katanya, keputusan untuk menyertai syarikat pengurusan dibuat atas dasar kesediaannya untuk memulakan langkah baharu dalam karier. 

“Apa kaitan Shahir dalam hal ini? Apa sahaja membabitkan hal karier, ia tiada kena-mengena dengan dia pun. 

“Keputusan untuk bertukar pihak pengurusan dibuat oleh saya sendiri kerana berasakan sudah sampai masanya untuk saya memerlukan sebuah kumpulan bagi mengatur jadual karier,” ujarnya.

Ini merupakan kali pertama aktres filem Janji Diana itu menyertai syarikat pengurusan selepas lebih 20 tahun bergiat aktif dalam bidang seni. - K! ONLINE