Nadya, 26, yang kini sedang berdepan krisis rumah tangga apabila suaminya berlaku curang dengan seorang wanita dari Kelantan memberitahu perkahwinan sekarang adalah yang pertama baginya dan kedua bagi suami.

“Saya bukan janda, suami saya yang duda ketika berkahwin dengan saya. Ada portal yang salah menulis saya pernah berkahwin sebelum ini.

“Sekarang pun saya masih mempertahankan status sebagai seorang isteri walaupun sudah mendapat bukti bergambar bahawa suami saya curang,” ujarnya kepada Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah pelakon drama I Love You Abang Bomba itu lagi, dia mengetahui hal kecurangan itu seminggu sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Naluri saya sebagai seorang isteri sudah terdetik ada yang tidak kena dengan suami apabila terlalu kerap ke Kelantan kononnya atas urusan kerja sampai sebulan tidak balik menjenguk saya dan anak-anak.

“Ternyata tepat jangkaan saya apabila mendapat kiriman bukti bergambar mereka berdua menerusi telefon,” jelasnya lagi.

Biarpun kecewa, Nadya tidak terlintas untuk memohon cerai dan nekad berusaha menyelamatkan rumah tangga mereka.

“Kami ada anak, saya tidak mahu menyerah sebelum berusaha sehabis mungkin untuk mempertahankan rumah tangga ini,”katanya lagi.

Pasangan ini bernikah pada September 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Aleena Rose,2 dan Mohammad Dayyan,1. - K! ONLINE