Kata pemilik nama sebenar, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini, dia tidak menyangka percubaannya melakonkan watak seorang antagonis wanita yang bertudung menjadi perbualan ramai.

Wanita berusia 28 tahun itu bagaimanapun bersyukur kerana wataknya sebagai Nadine berjaya menjentik hati penonton sehingga dia sering menjadi mangsa kecaman, sekali gus trending dalam media sosial.

Kosmo!: Apakah perasaan Sarah apabila watak Nadine dalam drama Pujaan Hati Kanda mendapat reaksi positif penonton?

Sarah Hildebrand: Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan perasaan tentang kejayaan watak Nadine. Apapun, saya bersyukur apabila ramai yang memberi komen positif dan memuji lakonan saya sudah semakin baik. Sebelum drama ini khalayak memang tidak perasan akan kewujudan saya dalam industri. Terima kasih kepada pengarah, Eoon Shuhaini yang mempercayai bakat lakonan saya.

Watak Nadine mendapat kecaman yang hebat bukan sahaja daripada penonton, malah dalam media sosial, bagaimana anda melihat perkara tersebut?

Melakonkan watak antagonis merupakan satu perkara yang baharu buat saya. Bukan senang membawakan watak seorang wanita bertudung yang jahat dan terjerit-jerit dalam melontarkan dialog. Namun, saya tidak menafikan bahawa wujud wanita seperti ini dalam kehidupan realiti. Bertudung tidak bermakna seorang wanita itu bebas daripada sifat-sifat cela. Bertudung atau tidak bertudung, keperibadian seorang wanita tidak terletak pada tudungnya.

Apakah kecaman yang paling hebat pernah anda terima kerana watak Nadine?

Banyak sebenarnya yang memaki saya dalam media sosial. Semua disebabkan penonton menyampah dengan watak Nadine yang suka meroyan dan sukar untuk ‘move on’. Namun, tidaklah sampai hantar ugutan bunuh atau mahu mencederakan saya. Watak Nadine benar-benar menjadi titik peralihan dalam kerjaya lakonan. Dibenci kerana watak, bermakna saya berjaya sebagai pelakon dan ia secara tidak langsung menjadi pembakar semangat untuk terus bergerak ke hadapan.

Apakah rujukan anda untuk menjayakan watak Nadine sehingga ia begitu menjadi di mata penonton?

Sebenarnya sebelum turun ke set penggambaran, saya menonton drama Gossip Girls dan menjadikan watak Blair Waldorf (lakonan Leighton Meester) sebagai rujukan. Bukan meniru bulat-bulat cara Meester melakonkan watak Blair, namun saya mengaku, itu adalah sumber rujukan saya. Kiranya, unsur kejam dan jalang Nadine saya belajar daripada watak Blair.

Sebelum mendapat watak Nadine, apakah yang menyebabkan anda kurang menyerlah dalam bidang lakonan ?

Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa ataupun mana-mana pihak. Saya menerima segala rezeki dan mengakui kekurangan diri. Saya tidak menafikan sebelum ini banyak memiliki kekurangan daripada segi lakonan dan cuba memperbaikinya. Sekarang, Nadine sudah menjadi titik peralihan untuk saya terus mara sebagai pelakon. Saya juga tidak akan mensia-siakan peluang ini untuk memberikan lakonan yang terbaik kepada penonton.

Apakah harapan anda selepas ini berakhirnya drama Pujaan Hati Kanda?

Saya berharap diberikan peluang untuk terus menunjukkan bakat lakonan dengan pelbagai watak yang belum pernah saya jayakan. Saya teringin untuk membawa watak budak cacat. Hal ini adalah kerana saya tidak mahu orang melabelkan seseorang pelakon hanya mempunyai wajah yang cantik, tetapi berlakon keras seperti kayu. Saya bersedia untuk wajah diburukkan atau berdepan pelbagai kesukaran demi menjayakan sesuatu watak.