Masakan tidak, selain dapat memperagakan kostum yang direka oleh pereka fesyen kegemarannya, Brian Khoo, buat pertama kali, Samantha turut berasa bangga kerana ia diilhamkan daripada menu hidangan paling popular di Malaysia, iaitu nasi lemak.

Namun, tidak semua bersependapat dengannya. Sebaik sahaja kostum kebangsaan itu diperkenalkan kepada umum, tohmahan demi tohmahan diterima oleh Samantha dan Brian, khususnya menerusi laman sosial.

Menurut mereka, kostum tersebut kelihatan ringkas dan tidak setanding dengan rekaan kostum peserta negara lain. Ada juga yang menyifatkan rekaan tersebut mirip projek pelajar sekolah untuk mata pelajaran seni.

Bertemu dengan Samantha pada majlis tayangan perdana telefilem khas Wanita Terindah yang diadakan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, model yang berasal dari Klang, Selangor itu menegaskan bahawa rekaan kostum tersebut merupakan karya unik dan eksentrik.

Ujar Samantha atau nama sebenarnya, Samantha Katie James, dia berasa bangga dapat menggayakan rekaan tersebut, sekali gus membawa hidangan nasi lemak ke peringkat dunia.

Dalam pada itu, Samantha turut berkongsi tentang penglibatannya dalam telefilem khas yang sudah sedia untuk dilanggan menerusi Astro First Eksklusif (saluran 480) bermula 2 November lalu.

KOSMO!: Samantha, anda bakal menggayakan kostum kebangsaan bermotifkan nasi lemak pada pertandingan ratu cantik Miss Universe 2017 yang akan diadakan di Las Vegas, Amerika Syarikat (AS) pada 26 November depan. Namun, ketika majlis memperkenalkan kostum berkenaan, rekaan Brian Khoo itu menerima kecaman yang teruk oleh khalayak. Adakah anda sedar mengenai perkara tersebut?

SAMANTHA: Ya, saya sedar ramai yang memperkatakan tentang 'baju nasi lemak' yang saya gayakan tempoh hari. Namun, saya tidak ada masalah dengan kata-kata negatif mereka kerana gemarkan rekaan tersebut. Pada masa yang sama, Brian merupakan pereka fesyen kegemaran saya. Jadi, kolaborasi ini menjadi antara yang paling istimewa pernah saya jayakan.

Apakah pendapat anda mengenai hidangan nasi lemak yang dijadikan inspirasi untuk kostum kebangsaan tahun ini?

Pada pendapat saya, rekaan ini adalah satu kerja seni yang kreatif. Saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadikan makanan sebagai subjek bagi rekaan kostum. Saya bangga dengan rekaan ini dan mahu memperkenalkan nasi lemak kepada orang luar menerusi pertandingan itu nanti.

Anda kelihatan tenang walaupun rekaan tersebut menjadi tular di laman sosial. Adakah anda senang dengan perkara tersebut?

Biarlah apa orang mahu cakap. Apa yang penting, kostum ini tular sebelum saya tiba di Las Vegas. Sudah tentu ia akan menjadi bahan bualan ketika saya menggayakannya kelak.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap peserta Miss Universe mempunyai misi yang tersendiri. Untuk tahun ini, isu apakah yang anda ingin kupas jika diberi peluang untuk bersuara mewakili masyarakat?

Saya mahu menyuarakan pendapat mengenai isu-isu berat seperti buli di alam siber dan trend memperlekehkan penampilan orang lain secara terbuka. Pernah dibuli ketika di bangku sekolah, saya sedar bahawa isu ini perlu dibendung dan diberi perhatian.

Sebelum Wanita Terindah, anda pernah membintangi sebuah filem seram, Kastil Tua dan filem berbahasa Mandarin, Huang untuk pasaran negara China. Apakah perancangan anda selepas menyertai Miss Universe 2017? Adakah anda akan meneruskan kerjaya anda dalam bidang peragaan dan lakonan?

Saya suka mencuba perkara-perkara baharu. Saya bersetuju untuk berlakon kerana mahu mencabar diri dan keluar daripada zon selesa. Jika diberikan peluang, saya mahu mencipta nama di AS.

Boleh kongsikan sedikit bagaimana anda terlibat dengan produksi Wanita Terindah?

Saya diminta datang ke sesi uji bakat oleh pihak RedFilms, iaitu rumah produksi yang bertanggungjawab menerbitkan telefilem khas ini. Mereka meminta berbuat demikian selepas berjumpa saya ketika uji bakat Miss Universe Malaysia tahun lalu. Walaupun sedikit canggung kerana tidak mahir bertutur dalam bahasa Melayu, tetapi saya kuatkan semangat untuk mencuba dan merealisasikan watak Melissa seperti yang diharapkan oleh pihak produksi. Saya berharap agar penonton dapat menerima baik lakonan saya pada kali ini.