Antara kelainan yang ada dalam kempen yang diberi judul Meriah Bersama itu, pihak Astro mewujudkan sebuah saluran khas percuma, Ramadan HD (Astro 122) bagi menyiarkan seleksi program sepanjang bulan puasa.

Naib Presiden dan Ketua Bahagian Melayu dan Nusantara, Kumpulan Kandungan Astro, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, saluran tersebut diwujudkan kerana Astro sentiasa ke hadapan dalam memenuhi hasrat memberikan kandungan terbaik terutama kepada penonton setia mereka.

“Kami sedar tentang tanggungjawab besar dalam mendidik penonton dengan program-program yang mampu menyemarakkan nilai-nilai murni dalam diri.

“Justeru, kami berharap dapat menjadi wahana penyampaian kandungan Islam yang unggul buat penonton dengan membariskan pelbagai program berkualiti tinggi,” kata Khairul Anuar ketika ditemui pada majlis tayangan program-program Ramadan Astro baru-baru ini.

Tidak hanya tertakluk pada bulan Ramadan, saluran Ramadan HD (Astro 122) yang memulakan siaran sejak 12 Mei lalu akan dipanjangkan ke musim perayaan menerusi saluran Raya HD bermula 14 Jun hingga 15 Julai depan.

Khairul juga berkata, pemilihan tema Meriah Bersama dilihat sebagai bertepatan dengan sambutan Ramadan pada tahun ini memandangkan kandungan yang diterbitkan sesuai untuk tontonan seluruh lapisan masyarakat.

Menghargai pelanggan

“Kami berpendapat, tema ini bersesuaian dengan usaha untuk menghargai pelanggan yang selama ini setia bersama Astro.

“Tema ini juga membawa maksud yang sangat luas. Ia menggambarkan kegembiraan yang dikongsi bersama setiap lapisan masyarakat, tidak mengira latar belakang masing-masing,” katanya lagi.

Untuk Ramadan 2018, sebanyak 38 program menarik dan baharu yang disediakan untuk santapan rohani penonton. Ia merangkumi program-program keagamaan, telefilem, dokumentari, drama bersiri dan beberapa program bual bicara.

Penggemar drama bersiri Melayu boleh menyaksikan drama Klik! Pengantin Musim Salju lakonan Siti Nordiana dan Alif Satar yang mula disiarkan pada 14 Mei lalu. Ia menjadi drama Melayu pertama siaran Astro yang ditayangkan setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 7 malam.

Ketika ditanya mengenai waktu siaran baharu bagi slot drama, Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, keputusan menayangkan drama berkenaan pada pukul 7 malam adalah berdasarkan permintaan penonton, bukan untuk mewujudkan persaingan antara stesen televisyen lain.

“Seperti semua sedia maklum, rakyat Malaysia gemar menonton drama bersiri dan kebetulan, slot pukul 7 malam merupakan slot terpenting untuk sebarang stesen televisyen sepanjang bulan puasa.

“Kami mewujudkan slot baharu bukan mahu bersaing tetapi sekadar memenuhi permintaan penonton,” katanya.

Selain drama Klik! Pengantin Musim Salju, penonton juga dapat menyaksikan beberapa program baharu lain seperti Meremang: Suriram pula menemui penonton menerusi Astro Prima, Diari Ramadan Neelofa (Astro Ria) dan Dapur Hancur Lebur (Astro Warna).

Selain kandungan televisyen, Astro turut menumpukan perhatian kepada penerbitan program-program radio seperti 60 Saat Resipi Ramadan & Raya 2018 (Era), Zayan Mualaf Diary (Zayan) dan Bubur Lambuk Istimewa (Sinar).