Selain keindahan panorama alam semula jadi, Taiwan turut memiliki tarikan terhadap seni bina di bandar raya Taipei terutama bangunan pencakar langit kelima tertinggi dunia, Menara Taipei 101.

Dalam pada itu, Taiwan juga merupakan sebuah negara mesra Muslim dan mementingkan proses penyediaan makanan halal termasuk menyediakan kemudahan untuk menunaikan solat.

Bersesuaian dengan itu, pihak Biro Pelancongan Taiwan melancarkan kempen Salam Taiwan bagi menggalakkan pelancong beragama Islam melawati negara tersebut.

Menerusi kempen tersebut, pelakon dan pengacara, Mira Filzah telah dilantik sebagai Duta Pelancongan Salam Taiwan.

Sesuai cita rasa

Kata pemilik nama lengkap, Nur Amirah Filzah Badioezaman, pelantikan tersebut secara tidak langsung telah memberi perspektif baharu tentang negara Taiwan.

Akui wanita berusia 25 tahun berkenaan, dia tidak pernah mempunyai sebarang perancangan melancong ke negara terbabit disebabkan kebimbangan untuk mendapatkan makanan halal.

Namun, setelah menjalani penggambaran video komersial kempen Salam Taiwan selama seminggu, Mira akui negara terbabit memenuhi cita rasa lokasi pelancongan.

Selain kemudahan mesra Muslim, keramahan penduduk tempatan dan keterbukaan mereka menerima pelancong beragama Islam juga membuatkan Mira berasa yakin berada di negara tersebut.

“Ini merupakan pengalaman pertama kali saya ke Taiwan. Tidak dinafikan, Taiwan mempunyai pelbagai lokasi menarik yang pastinya membuatkan pelancong berpuas hati.

“Bukan disebabkan pelantikan sebagai duta pelancongan membuatkan saya jatuh cinta kepada Taiwan. Namun, sejujurnya negara tersebut mempunyai tarikan tersendiri yang menjadikan saya berasa ingin kembali ke sini pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, peluang menjadi duta pelancongan tersebut secara tidak langsung memberinya pengalaman baharu yang berbeza, sekali gus mempelajari budaya negara berkenaan.

Diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab tersebut selama setahun, Mira turut dijadualkan akan bercuti ke Taiwan bersama peminat yang merupakan salah satu daripada aktiviti kempen berkenaan.

Menurut wakil Pegawai Kebudayaan dan Ekonomi Taipei di Malaysia, Anne Hung, pemilihan pelakon drama rantaian Meh Sandar Pada Aku itu berdasarkan pengikut di media sosial Instagram sebanyak 3.2 juta.

“Bukan sekadar memiliki pengikut yang ramai di media sosial tetapi personaliti Mira juga dilihat mampu menarik minat golongan belia melancong ke Taiwan,” tutur Anne.

Bagi menarik lebih ramai pelancong beragama Islam, Taiwan menyediakan persekitaran mesra Muslim selain menawarkan lebih 176 buah restoran yang disahkan persijilan halal.