Mengikut sifir sesetengah pemerhati filem, Shape Of Water sememangnya sebuah karya yang amat hebat dari segi kesan khas dan sinematografi. Bagaimanapun, muncul suara-suara sumbang mengatakan filem tersebut amat lemah dari soal pemarkahan lakon layar asal kerana ia dilabel karya ciplak daripada beberapa ‘usaha keras’ pembikin terdahulu. Karya-karya yang dimaksudkan termasuklah Creature From the Black Lagoon (1953), Mr. Peabody And The Mermaid (1948) dan Beauty And The Beast (2017).

Kemenangan dengan dua kategori utama tersebut barangkali menutup ketat mulut barisan pengkritik filem yang tidak berpuas hati dengan kejayaan Guillermo.

Pengarah berusia 53 tahun kelahiran Mexico itu dalam ucapannya menekankan tentang kuasa kepelbagaian idea tanpa halangan demi kepentingan tertentu. 

“Saya merupakan seorang imigran dan selama 25 tahun lalu telah menjalani hidup secara berdikari dan berpindah-randah. Kadang-kadang saya berada di Eropah untuk mencari sesuap nasi, kemudian berada di merata-rata tempat lain. 

“Perkara paling hebat apabila seni dan industri filem boleh memungkinkan semuanya. Perkara sebegini harus berterusan untuk kemajuan bersama,” katanya yang sebelum ini cukup dikenali dengan sentuhan magis menerusi filem Pan’s Labyrinth.

Ketika menerima trofi Pengarah Terbaik, Guillermo merangsang semangat penonton yang hadir di Dolby Theatre dan seluruh dunia yang menonton dengan berkata: “Shape Of Water juga boleh dilihat sebagai suatu usaha membuktikan bahawa elemen fantasi boleh dijadikan medium mengetengahkan isu kontroversi penting dunia.”

“Inilah pintunya. Tendang dan ayuh masuk beramai-ramai. Saya amat berbangga dan pada masa yang sama berada di atas podium bermakna ini. Kini saya adalah sebahagian daripada legasi. Kita semua adalah pembikin filem dan harus sentiasa bangga dengan kerjaya ini.”

Selain membawa pulang trofi Filem Terbaik dan Pengarah Terbaik, Shape Of Water menang kategori Skor Muzik Asal Terbaik dan Rekaan Produksi Terbaik.

Curi tumpuan

Seperti menjadi ‘kelaziman’ acara-acara besar Hollywood, Academy Awards atau Oscar tidak terkecuali daripada dijadikan medan memperbesarkan suara politik masing-masing.

Misalnya, biarpun sudah hampir atau lebih setahun Donald Trump menjawat tugas sebagai Presiden Negara Uncle Sam itu, melalui seni, para karyawan memberi gurauan berbaur sinis dan kasar yang seperti melaungkan suara mereka masih belum mampu menerima hakikat bahawa Trump adalah orang nombor satu negara berkenaan.

Hos Oscar buat dua tahun berturut-turut, Jimmy Kimmel gagal untuk tidak menyebut nama Trump dan sentiasa mengaitkan nama ketua negara itu dalam sisi leluconnya.

“Di mana ada cahaya, di situ ada cahaya harapan kecuali di White House. Harap dia berhenti pada hari Rabu (tidak lama lagi),” ujar Kimmel yang menjemput tawa hadirin.

Paling mencuri tumpuan adalah kemenangan selayaknya dan ucapan bersahaja bintang filem Three Billboards Outside Ebbing, Missouri iaitu Frances McDormand.

Ramai penonton berkerut dahi sesudah McDormand memberikan ucapan sambil melontarkan istilah inclusion rider yang bermaksud hak sama rata buat mereka yang bekerja dalam dunia hiburan.

“Saya ada dua perkataan untuk anda semua iaitu inclusion rider,” katanya meminjam klausa daripada seorang lelaki bernama Stacy Smith yang pernah diutarakan sekitar tahun 2016 mengenai nasib tidak seimbang pelaku seni lakonan.

Bukan itu sahaja, McDormand yang menerima trofi berkenaan menerusi terjemahan watak cemerlang sebagai Mildred Hayes memberi penghormatan kepada empat pelakon wanita lain yang bertanding dalam kategori sama.

“Terima kasih suami, Joel Coen dan anak saya Pedro. Kita semua ada kisah yang ingin diceritakan dan projek yang memerlukan bantuan kewangan.

“Kalau tidak keberatan, saya rasa terharu seandainya wanita-wanita lain yang tercalon dalam kategori yang dimenangi ini sama-sama bangun,” kata pelakon berusia 60 tahun itu yang tampak muda dengan gaya rambut pendek.

Selain McDormand, Sam Rockwell yang melakonkan watak Jason Dixon dalam filem arahan Martin McDonough itu pulang dengan trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Secara keseluruhannya, ‘penganugerahan’ trofi pada penganjuran edisi kali ini boleh disifatkan sebagai adil kerana empat filem iaitu Shape Of Water, Darkest Hour, Dunkirk dan Three Billboards Outside Ebbing, Missouri yang berbeza elemen cemerlang dengan kemenangan masing-masing. Malah Get Out juga membuatkan ramai tersenyum apabila pulang dengan trofi Lakon Layar Asal Terbaik.

Untuk penulis sendiri, peluang bekerja dengan hampir 200 pengamal media dari seluruh pelosok dunia memberi satu lembaran pengetahuan baharu kerana sememangnya, ada sebab kukuh mengapa Los Angeles atau Hollywood dilabel sebagai pusat dunia hiburan global kerana dari pelbagai segi, segalanya harus dititikberatkan dengan sempurna demi memastikan kelangsungan acara yang cemerlang.

Siaran ulangan Academy Awards ke-90 boleh ditonton secara ekslusif pada 7 Mac pukul 9 malam, 11 Mac (4.20 petang) dan 16 Mac (4 petang) di saluran HBO (Astro 411 / 431). Bukan itu sahaja, acara berprestij berkenaan boleh juga boleh ditonton melalui HBO On Demand (Astro Go).