Nur Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruzzaman berkata, dia enggan berbuat demikian kerana menganggap dakwaan wanita tersebut sebagai satu perkara yang melucukan.

“Saya tidak akan membuat permohonan maaf sama ada secara bertulis atau visual.

“Tambahan pula, apa yang dikatakan kepada saya sangat melucukan. Geli hati saya mendengarkan,” ujar Sajat ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Semalam, Yusmiliati mendakwa dia telah dituduh sebagai penipu dan dianiaya oleh Sajat berhubung dengan proses pertukaran jantina di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Wanita itu juga meminta supaya Sajat membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam.

Sajat yang juga merupakan penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu menambah, dia juga tidak mahu memberi sebarang komen lanjut mengenai dakwaan keinginannya untuk menukar jantina.

“Seperti yang saya katakan, dakwaan wanita tersebut pada sidang akhbar tempoh hari adalah sangat melucukan.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut dan enggan memberikan dia publisiti murahan,” katanya lagi. - K! ONLINE