Bagaikan menepati ramalan, pemilihan oleh barisan juri diketuai Datuk Mokhzani Ismail untuk dipertandingkan dalam acara AJL33 pada 3 Februari depan dilihat membariskan nama besar yang dianggap otai dalam industri kembali bertaring.

Pada malam keputusan SFMM baru-baru ini, pengacara Sherry Al Hadad dan Haziq Hussni mengumumkan 12 lagu berjaya mara ke pentas AJL33 adalah lagu Semakin ciptaan sepenuhnya Mera Utama dinyanyikan oleh Siti Sarah, Bunga - Ara Johari (Hang Nadim/Laq/Kadok), Kau Pun Sama - Syamel (Syamel/Kidd Santhe), Sampai Bila - Misha Omar (Sharon Paul/Fedtri Yahya/Shah Shamshiri), Luluh - Khai Bahar (Khai Bahar), Hajat - Hael Husaini (Hael Husaini/Ezra Kong) dan Di Matamu - Sufian Suhaimi (Sirkhan/Rinkarnaen)

Lagu duet pula menyaksikan sekali lagi juara AJL32, Hael menguasai carta apabila karya ciptaan bersama Ezra Kong berjudul Haram duet bersama Dayang serta Nisan Cinta - Siti Nordiana dan Jaclyn Victor (Hael Husaini/Mike Chan/Ezra Kong) dipilih ke untuk ke final.

Tidak ketinggalan lagu Bunga - Altimet (Omar K/John Jeevasingam/Altimet), Jatuh Bangun (Haqiem Rusli/Omar K,Ikhwan Fatanna/Aman Ra) dan Tak Pernah Hilang (Amylea/Farouk Roman) juga terpilih.

Mengulas lanjut Mokhzani berkata, pemilihan finalis dibuat berdasarkan impak sesebuah lagu kepada pendengar dan nilai komersial yang ada pada sesebuah karya.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pemilihan juri walaupun dapat dilihat sebanyak 30 lagu yang layak ke separuh akhir didominasi genre balada, tetapi kita harus membuat pilihan seimbang dan beri peluang terhadap genre lain.

“Tidak dinafikan terdapat ciptaan lagu bagus, tetapi ia tidak terpilih kerana gubahan yang kompleks hingga kurang nilai komersial. Sedangkan dalam AJL sangat menekankan impak lagu berkenaan kepada pendengar, selain penyanyi juga memainkan peranan kerana pengikutnya yang membolehkan lagu berada dalam pasaran,” jelasnya.

Selain Mokhzani, barisan juri SFM33 terdiri daripada Ajai, Helen Yap, Edrie Hashim, Azmeer dan Cat Farish.

Pentas pertemuan

Sempat bertemu dengan pelantun Sampai Bila usai sidang akhbar berlangsung, penuh syukur Misha Omar memberitahu, penciptaan lagu berkenaan disifatkan kombinasi yang cukup hebat hingga melayakkan ia terpilih sebagai finalis.

Bahkan, pemenang AJL18 pada tahun 2003 itu tidak mahu mengambil sikap sambil lewa terhadap harapan yang dipertaruhkan pencipta dan peminat di atas bahunya.

“Ia merupakan kombinasi hebat antara saya sebagai penyanyi dan pencipta lagu ini. Peminat juga banyak memainkan peranan dengan mengundi bagi memastikan ia lepas ke peringkat separuh akhir.

“Sebagai penyanyi, saya tidak boleh sambil lewa dan harus berikan persembahan terbaik. Sejujurnya, saya tidak sabar untuk menikmati keindahan susunan muzik Sampai Bila sambil diiringi pemuzik orkestra pada malam AJL33 nanti,” katanya.

Melihat barisan penyanyi seangkatan seperti Siti Sarah, Dayang dan Jaclyn Victor yang bakal beraksi di atas satu pentas sama menjelang 3 Februari depan, penuh teruja Misha memberitahu, ia tidak ubah seperti reunion.

Dalam pada itu, biarpun wujud sedikit kegusaran sementelah sudah lama tidak terlibat dengan pentas pertandingan, namun wanita berusia 36 tahun itu mahu sentiasa berfikiran positif dan menggunakan tempoh dua bulan yang ada untuk memikirkan sebuah persembahan terbaik.

“Ia tidak ubah seperti perjumpaan semula bersama kawan-kawan dan masing-masing membawa lagu sendiri. Saya seronok kerana AJL nanti akan menjadi medan untuk bersuai kenal, bertukar fikiran antara penyanyi lama dan baharu.

“Jujurnya, saya tidak boleh rasa selesa berada dengan genre balada yang dibawa, namun saya juga tidak mahu memikirkan persaingan. Dalam umur sebegini, saya tidak mahukan tekanan sebaliknya ingin menikmati sahaja peluang untuk memberikan persembahan terbaik,” terangnya yang akan memperkemaskan kuasa vokal bersama Datuk Syafinaz Selamat demi AJL nanti.

Tanggungjawab

Beralih kepada lelaki yang semakin menempa populariti sejak dinobatkan sebagai juara pada AJL tahun lalu, Hael pula menganggap dirinya menggalas satu tanggungjawab besar.

“Namun, saya selalu mengingatkan diri, masuk pertandingan bukan hendak jadi juara, jadi saya tidak mahu menganggap ia tekanan tetapi satu tugas sebagai komposer dan penyanyi yang perlu dilaksanakan dengan baik,” terangnya tersenyum.

Melanjutkan bicara, Hael turut berkongsi keterujaan apabila melihat penglibatan juara-juara AJL kembali bersaing pada edisi kali ini.

Ditebak soal lagu ciptaannya yang dijangka lebih menyerlah, tanpa berselindung lelaki itu memberitahu, pastinya ia adalah Haram yang menampilkan paduan bersama, Dayang Nurfaizah.

“Tentunya saya teruja dengan Haram. Selain lagu kegemaran ia juga kolaborasi luar biasa bersama Dayang. Membawakan lagu duet juga agak mencabar, kami perlu mencari kelainan dan keserasian agar tidak nampak kekok di atas pentas.

“Secara keseluruhan, saya suka dengan penglibatan 12 finalis kali ini kerana melibatkan wajah baharu dan lama. Bahkan kategori lagu juga terdiri daripada variasi genre dan memberi peluang untuk kami berkongsi bakat atas satu pentas,” tuturnya.

Berbeza

Sementara itu, biarpun lagu taruhan Dayang Nurfaizah berjudul Dia dan Layarlah Kembali gagal memikat hati juri untuk lolos ke AJL33, namun ratu vokal itu positif menerima keputusan tersebut.

Menyifatkan sudah memberi persembahan terbaik sepanjang separuh akhir, kegagalan berkenaan bukan hal besar untuk disesalkan.

Dayang sebaliknya bersyukur kerana kali ini terdapat perbezaan apabila buat julung-julung kalinya bertanding menerusi lagu duet.

“Sebagai penyanyi, saya sudah cuba melakukan yang terbaik dan tidak pernah menyesal dengan setiap persembahan yang sudah dibuat.

“Saya bersyukur kerana akan kali pertama membawa lagu duet dalam AJL. Apabila difikirkan kembali ada bagusnya kerana dapat berkongsi tenaga selain rasa gementar itu tidaklah terletak pada bahu saya seorang,” jelas Dayang.

Dikenali sebagai seorang yang begitu mementingkan kesempurnaan dalam persembahan, sengaja Dayang ditebak soal kepuasannya dan ketakutan jika terdapat kesalahan dilakukan oleh pasangan duetnya. Sambil tertawa jawab Dayang;

“Saya tidak pernah rasa lagi proses persembahan apabila berdua di atas pentas sebab sebelum ini selalu fikir untuk diri sendiri. Mungkin akan ada lebih banyak perbincangan dan latihan tentang konsep persembahan agar ia lebih menarik.

“Mujur Hael seorang yang mudah dibawa berbincang. Mungkin saya akan mengeluarkan beberapa idea tetapi pada masa sama tetap perlu memikirkan pandangannya memandangkan Haram adalah lagu Hael, saya kena hormat itu,” katanya.

Sebelum mengakhiri bicara, Dayang sempat berkongsi jangkaannya terhadap malam AJL yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu nanti pasti lebih meriah dek penglibatan rakan-rakan sebaya dengannya.