Jauh di sudut hatinya, ada satu impian yang sudah lama terpendam rapi iaitu keinginan untuk membintangi naskhah aksi.

Bagai bulan jatuh ke riba, penantian panjang itu akhirnya membuahkan hasil apabila dia terpilih selaku pelakon utama bagi naskhah Coast Guard yang bakal menembusi pawagam pada tahun depan.

Ujar pemilik nama lengkap Mohd. Saharul Ridzwan Hashim itu, selain memenuhi impian yang sekian lama terpendam, ini merupakan peluang untuk dirinya keluar dari zon selesa.

“Ini merupakan filem aksi pertama dan juga naskhah layar lebar sulung saya selepas sekian lama bergelar pelakon. Syukur alhamdulillah, saya sangat teruja dengan tawaran ini.

“Akhirnya saya dapat keluar daripada kepompong selesa. Selama ini orang melabelkan saya sebagai hero romantik sebab terlalu kerap melakonkan naskhah bersadur cinta.

“Naskhah Coast Guard telah memberi peluang untuk saya tampilkan sisi berbeza yang belum pernah penonton lihat sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar filem berkenaan di Red Hotel, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Coast Guard terbitan Arie Zaharie Sdn. Bhd. bakal menjalani penggambaran bermula awal Ogos depan dan dibintangi barisan pelakon popular seperti Emma Maembong, Julia Farhana, Fauzi Nawawi, Aziz M. Osman, Sabri Yunus, Wanna Ali dan Hazama.

Perbandingan

Filem aksi beruniform telah banyak diterbitkan sebelum ini dan antara karya yang berjaya menempa rekod tayangan pecah panggung adalah Polis Evo 2 (RM20 juta), Paskal (RM30 juta) dan KL Special Force (RM12.2 juta). Situasi itu membuatkan Saharul berasa khuatir.

Dia bimbang, penonton akan meletakkan jangkaan tinggi selain memberi perbandingan terhadap lakonannya dengan naskhah-naskhah aksi yang lain.

“Tekanan dan bimbang memang ada dalam hati saya. Bagaimanapun tidak adil buat saya atau pelakon lain kalau penonton cuba membuat perbandingan. Masing-masing ada kelebihan dan kelainan tersendiri.

“Tolak ke tepi semua tekanan itu. Saya ambil dari sudut positif dan melihat ini sebagai satu bentuk amanah supaya dapat lakukan yang terbaik buat penonton,” jelasnya.

Ketika menerima perkhabaran dirinya terpilih selaku bintang utama naskhah aksi tersebut, pelakon berusia 30 tahun itu mengakui ada meminta tunjuk ajar daripada pelakon aksi, Hairul Azreen terutama dalam soal persediaan rapi sebelum memasuki set penggambaran.

“Banyak kali saya berjumpa Hairul. Katanya, fizikal jatuh nombor dua kerana paling penting adalah mental. Sebab naskhah aksi memang jauh beza daripada cerita lain,” kata Saharul yang masih dalam proses menurunkan berat badan daripada 83 kilogram (kg) kepada 75kg.

Anak perempuan

Menyentuh tentang kehidupan peribadinya, Saharul yang sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga dengan isteri, Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir telah dikurniakan putera sulung bernama Muhammad Luth Ali pada 6 Jun 2017.

Menyedari Ali yang kini telah berusia dua tahun membuatkan Saharul kembali bersedia menerima kehadiran orang baharu dalam keluarga kecilnya.

Luah pelakon drama Hati Perempuan itu, jika ada rezeki dia menyimpan hasrat untuk menimang cahaya mata perempuan suatu hari nanti.

“Memang ada keinginan untuk menambah anak, kalau boleh mahu perempuan. Sebab Ali pun sudah besar dan dia perlukan kawan bermain. Insya-Allah, doa-doakanlah,” katanya ringkas.

Menyambung bicara tentang kerjaya seni, selepas muncul menerusi lagu Buku Putih bersama dengan komposer Ajai sekitar September tahun lalu, langkah Saharul dalam bidang muzik dilihat bergerak agak perlahan.

Mengakui perkara tersebut, Saharul bagaimanapun menjelaskan dia mengambil serius karier nyanyiannya. Namun disebabkan kesibukan masa membuatkan dia sukar memberi sepenuhnya fokus terhadap bidang nyanyian.

“Saya perlu kental kalau mahu jadi penyanyi. Saya tidak kisah kalau orang kata saya tidak boleh menyanyi. Sebabnya saya rap, bukan menyanyi.

“Sebenarnya saya boleh menyanyi cuma perlu jalani latihan yang betul dan banyak belajar. Tiada orang yang terus pandai dalam satu-satu bidang kerana itu perlu belajar dari bawah,” ujarnya yang akan meneruskan karier dalam bidang nyanyian selepas ini.

Kerap dihujani tawaran selaku hero dalam naskhah romantik, pelakon Saharul Ridzwan akhirnya menamatkan penantian impiannya selepas terpilih membintangi genre aksi menerusi filem Coast Guard.