Biarpun sudah empat tahun menjalani kehidupan bergelar ibu tunggal bersama tiga orang anak, Sabrina, 37, juga belum bersedia mencari suami demi fokus kepada anak-anak.

Ikuti penjelasan daripada pemilik nama sebenar Sabrina Ali Dad Khan itu ketika ditemui pada majlis pelancaran trailer filem Makrifat Cinta baru-baru ini selain turut berkongsi perkembangan terkini.

KOSMO!: Boleh kongsikan perkembangan karier seni Sabrina buat masa ini?

SABRINA ALI: Alhamdulillah, filem terbaharu lakonan saya berjudul Makrifat Cinta akan memasuki pawagam pada Februari tahun depan. Begitu juga dengan filem KL Special Force yang akan ditayangkan kemungkinan pada April, juga tahun depan.

Selain itu, saya juga bakal melancarkan produk minyak wangi sendiri pada Januari nanti.

Boleh ceritakan tentang peranan anda dalam filem Makrifat Cinta?

Buat pertama kali saya memegang watak baik (ketawa). Dalam filem itu, peranan saya sebagai seorang guru dan ia memang lain daripada semua filem lakonan saya sebelum ini.

Biarpun agak kekok membawakan watak guru tetapi saya akui ia pengalaman yang menyeronokkan.

Salah satu sebab saya menerima tawaran ini adalah kerana ia bukan bergenre seram. Kalau dahulu orang selalu tengok saya dalam filem hantu, jadi sebagai pelakon, saya mahu memastikan setiap lakonan saya pelbagai dan tidak tertumpu kepada satu-satu karakter atau genre sahaja.

Apa komen anda apabila sering tampil bersama Syamsul Yusof dalam kebanyakan naskhah?

Tidak dinafikan, memang saya kerap berlakon dengan Syamsul. Cuma kali ini, saya berlakon dalam filem yang sama sahaja tetapi bukan bawah arahan dia.

Meskipun bekerja bawah arahan pengarah baharu iaitu Kamal G tetapi saya tidak menerima tawaran ini kerana Syamsul semata-mata, saya juga seorang yang sangat menekankan kualiti sesebuah karya, contohnya dari segi skrip.

Beralih ke arah soal peribadi, bagaimana kehidupan anda sebagai ibu tunggal kepada tiga cahaya mata dan pastinya ia bukan perkara mudah untuk dijalani?

Memang benar, bergelar ibu tunggal sangat mencabar lebih-lebih lagi pada zaman serba moden ini. walau bagaimanapun saya tetap bersyukur dan alhamdulillah, setakat ini hidup saya dan anak-anak berjalan lancar.

Biarpun agak sukar tetapi saya masih mampu menghantar dua anak lelaki iaitu Syed Aryan Khan, 6, dan Syed Adrian Khan, 4, ke sekolah tahfiz dan menyara seorang lagi anak iaitu Ariana, 10.

Perbelanjaan untuk mereka memang agak besar tetapi apa yang menguatkan saya ialah dengan menganggap anak-anak sebagai saham akhirat. Saya mahu anak-anak membesar dengan pendidikan terbaik.

Selepas empat tahun hidup solo, adakah anda sudah terfikir untuk mencari pengganti?

Buat masa sekarang saya belum bersedia ke arah itu kerana mahu menikmati saat-saat bahagia melihat anak-anak membesar di depan mata.

Semuanya saya serahkan mengikut aturan dan ketentuan Tuhan. Kalau ada jodoh dan masanya sudah sampai, saya akan terima seadanya. Tetapi saya tidak pernah meletakkan suatu had masa atau tempoh untuk menamatkan zaman janda.

Cuma apabila terlalu lama hidup solo, jadi saya menjadi lebih memilih untuk mencari pasangan hidup memandangkan dua kali perkahwinan sebelum ini gagal.