Sama seperti umat Islam lain, saban tahun Che Ta, 45, cukup teruja untuk menyambut Ramadan kerana keistimewaan pahala berganda dalam ibadah. Sempat merasai pengalaman menunaikan umrah sebanyak dua kali ketika Ramadan membuatkan hatinya ingin kembali ke Tanah Suci pada bulan mulia ini.

Bagaimanapun disebabkan kepadatan jadual kerja, perancangan tersebut tidak dapat dilaksanakan pada Ramadan tahun ini.

“Ikutkan hati memang teringin buat kali ketiga berpuasa di Mekah. Saya ada menyuarakan hasrat untuk menunaikan umrah pada penghujung Ramadan kepada Zain.

“ Namun, melihat jadual kerja yang begitu padat memang tidak sempat untuk ke Mekah. Saya bimbang kami pergi dalam keadaan kelam-kabut. Jadi, lebih baik sambut Ramadan sepenuhnya di Malaysia sahaja,” kata Che Ta membuka bicara.

Tambah Che Ta, pengalaman berpuasa di Mekah begitu manis dan nikmat buatnya sehingga terbit rasa rindu yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

Berbeza dengan Malaysia nikmat Ramadan sering digambarkan dengan kemeriahan berbuka puasa, sebaliknya di Mekah hanya dengan sebiji kurma dan secawan air zam zam nikmat yang dirasai cukup luar biasa.

“Di Mekah lagi 30 minit hendak berbuka puasa orang ramai sudah duduk bersila dari dalam Masjidil Haram sehingga ke luar. Walaupun berbuka hanya dengan beberapa biji kurma dan air zam zam termasuk roti yang disedekahkan nikmatnya terlalu indah.

“Berbeza dengan Malaysia, selagi tidak penuh makanan di atas meja tidak rasa nikmat. Di sana fokus hanya kepada ibadah, perkara lain semua tidak difikirkan, saya memang cukup seronok tetapi tahun ini tiada rezeki untuk ulang kembali pengalaman tersebut,” ujar Che Ta.

Keluarga

Jelas Che Ta lagi, dia amat menantikan Ramadan kerana pada waktu ini sahaja mereka sekeluarga dapat berkumpul hampir setiap hari.

Menurutnya, pada hari biasa, selain anak bongsu, Aaisyah Dhia Rana, 3, kedua-dua anak lelakinya, Ammar Effendy, 23, dan Aniq Ezzra, 21, jarang berada di rumah kerana terikat dengan kuliah, namun berbeza pada bulan Ramadan. Kediamannya lebih meriah.

“Biasanya jarang kami sekeluarga dapat makan malam bersama. Bagaimanapun, pada bulan Ramadan biasanya kami akan berbuka dan bersahur, kiranya ada waktu berkualiti.

“Sebagai ibu, saya memang sukakan suasana riuh rendah barulah rumah terasa ‘hidup’. Tambah pula Zain memang lebih suka berbuka di rumah berbanding di luar, jadi itulah waktunya saya akan memasak makanan kegemaran suami dan anak-anak,” kata anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu lagi.

Selain bersama keluarga kecilnya, bulan Ramadan juga digunakan sepenuhnya untuk berkumpul bersama saudara-mara dan sahabat handai.

“Rasanya setiap kali Ramadan, keluarga besar akan berkumpul. Biasanya semua sibuk dengan komitmen masing-masing, hendak berjumpa sebulan sekalipun jarang.

“Jadi, pada bulan Ramadan kami tujuh beradik akan berkumpul berbuka dan berterawih bersama. Selain itu, waktu Ramadan juga akan kerap diadakan majlis perjumpaan semula (reunion) bersama rakan-rakan,” cerita Che Ta lagi.

Berbicara lanjut mengenai Ramadan, isteri kepada pelakon Zain Saidin itu mendedahkan, dia mendidik anak-anaknya untuk berpuasa sejak awal sehingga mereka boleh berpuasa penuh pada usia tujuh tahun.

“Saya memang tekankan bab solat dan puasa pada anak-anak. Kadangkala tidak sampai hati melihat mereka berpuasa dan tidak memaksa untuk berpuasa penuh.

“Mungkin kerana ajaran di sekolah dan malu dengan rakan-rakan, kedua-dua anak lelaki saya boleh berpuasa penuh pada usia tujuh tahun.

“Aaisyah saya ajar pengenalan pada puasa dan tidak wajibkan dia untuk berpuasa kerana baru tiga tahun. Setiap kali sahur dan berbuka, dialah orang paling sibuk di meja makan,” kongsi Che Ta sambil ketawa.

Kerjaya

Beralih bicara tentang kerjayanya, kata Che Ta, sepanjang bulan Ramadan jadualnya begitu padat. Selain terikat dengan penggambaran program raya, Che Ta juga sibuk dengan promosi perniagaannya.

Baginya, jika berusaha keras, rezeki bulan Ramadan selalunya lebih banyak berbanding bulan lain. Biarpun begitu Che Ta tidak mengabaikan perkara asas iaitu memperbanyakkan ibadah pada bulan mulia.

“Selalunya bulan Ramadan saya akan buka banyak gerai jualan produk-produk di bawah jenama saya kerana waktu itu peluang perniagaan terbuka luas.

“Tidak termasuk penggambaran program raya dan aktiviti promosi bersama produk lain yang menjalinkan kerjasama dengan saya. Cuma saya akan pastikan kebanyakan kerja dilakukan pada waktu siang supaya waktu malam boleh fokus kepada keluarga dan ibadah,” tutur Che Ta.

Disoal apakah kejayaannya dalam perniagaan sehingga boleh menjalani kehidupan serba mewah, Che Ta tertawa besar. Wanita cantik itu mendedahkan, dia tidak ada mengamalkan sebarang amalan khusus.

Sebaliknya dia hanya berusaha dan banyak bersedekah kepada golongan memerlukan. Katanya, Allah berjanji mereka yang bersedekah tidak akan jatuh miskin.

“Saya tiada amalan khas cuma memang kerap bersedekah tidak kira di mana-mana sahaja. Tidak perlu banyak, RM1 juga sudah memadai jika itu sahaja kemampuan kita.

“Paling penting ketika bersedekah perlu ikhlas dan tidak mengharapkan balasan. Insya-Allah, Allah akan balas keikhlasan tersebut daripada RM1 menjadi RM10.

“Ramai yang bersedekah pada bulan Ramadan kerana mengejar pahala tetapi biarlah ia menjadi amalan harian kita.

“Kuasa sedekah ini cukup kuat kerana ia mampu membersihkan hati dan membuatkan kita sentiasa bersyukur dengan setiap rezeki yang datang,” kata Che Ta mengakhiri bicara.