Perkara tersebut disedari Nash dan keluarganya apabila mendapati pintu ketiga-tiga bilik di rumah tersebut mempunyai kesan diumpil.

Bagaimanapun, menurut Nash yang merupakan vokalis kumpulan Lefthanded atau nama sebenarnya, Nashrudin Elis, 59, tiada barangan berharga yang diambil pencuri itu.

“Saya terkejut apabila mendapati rumah dipecah masuk sebaik sampai dari kampung pada pukul 5.30 pagi semalam. Selepas membuat pemeriksaan, saya bersyukur kerana tiada barang berharga yang diambil, cuma terdapat kesan pintu diumpil di ketiga-tiga buah bilik.

“Mungkin pencuri mencari wang atau barang kemas. Sebab itu, barangan berharga seperti televisyen tidak diambil,” kata Nash ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Menurut Nash, ini adalah kejadian pecah masuk kedua yang berlaku di rumahnya sejak menetap di situ hampir tiga dekad. Kali pertama kejadian pecah masuk berlaku adalah sekitar dua tahun lalu.

Kejadian pecah masuk tersebut menjadi iktibar buatnya untuk mengetatkan sistem keselamatan di rumahnya dengan merancang untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas ini saya mahu memasang CCTV memandangkan ini bukan kejadian pertama,” ujarnya.

Berhubung kejadian pecah masuk tersebut, Nash telah pun membuat laporan polis di Balai Polis, Seksyen 6, Shah Alam, Selangor. - K! ONLINE