Mengakui terkejut dengan sambutan hebat berkenaan, Ropie atau nama sebenarnya, Zahid Tajuddin, 51, bagaimanapun tidak mahu terlalu mendabik dada dengan kejayaan itu. Katanya merendah diri, dia hanya ingin menghiburkan orang ramai dengan bakat lakonannya.

Menjadikan pelakon dan pelawak, Imuda sebagai idola, lelaki kelahiran Johor Bahru itu menegaskan, dia tidak mempunyai masalah andai orang lebih suka memanggilnya dengan nama Nayan disebabkan keberkesanan watak komedi tersebut.

Ropie turut mendedahkan sekian lama menceburkan diri dalam dunia seni, dia mula terasa ‘bahang’ sebagai selebriti apabila ramai peminat tidak kira dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan orang dewasa ingin merakamkan gambar bersamanya.

Ditanya sama ada dia bersedia sekiranya watak Nayan dikembangkan sebagai naskhah stand-alone (berdiri sendiri), Ropie tidak akan menolak, namun getusnya, dia menyerahkan kepada tuan pengarah untuk memikirkan perkara tersebut.

KOSMO!: Tahniah atas kejayaan Hantu Kak Limah yang semakin menghampiri angka RM40 juta, apa komen Ropie apabila filem ini terus mencipta sejarah?

Sejujurnya, saya tidak menyangka filem ini sudah melepasi angka RM35 juta. Sebenarnya, saya jangka cuma dalam RM10 juta hingga RM12 juta. Bak kata orang putih, this is so amazing, I’m speechless what is this (ini amat mengejutkan, saya juga tergamam).

Watak Nayan sangat memberi kesan kepada penonton. Apa impak terbesar terhadap kerjaya anda?

Saya terhutang budi dengan Mamat Khalid kerana beliau yang banyak memberi idea untuk watak Nayan. Sebenarnya, apabila ramai mula memberi perhatian dan semakin menerima banyak tawaran, saya rasa takut. Ramai kanak-kanak yang menegur dan mengajak untuk merakam gambar bersama apabila bertemu di luar. Saya amat terkejut dan terharu.

Oleh kerana populariti Nayan sekarang, orang memang ajak bergambar, bukan?

Ya, betul. Pergi pasar pun sudah tidak boleh menyamar. Pakai topi pun orang kenal dan ajak bergambar. Seronok juga orang panggil dengan nama Nayan. Sebenarnya, sebelum jadi artis, saya mempunyai cita-cita ingin menjadi seperti Imuda. Orang kenal Imuda sehingga pergi mana-mana orang panggil dia Budin disebabkan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Alhamdulillah, nampaknya cita-cita sudah tercapai.

Adakah dengan kejayaan Nayan membuatkan anda bersikap lebih cerewet untuk memilih karakter selepas ini?

Tidaklah sampai begitu. Saya ‘belasah’ sahaja asalkan boleh bayar bil dan menjana pendapatan. Namun, saya tidak boleh bawa watak berlari-lari kerana usia sudah 51 tahun. Kalau terlalu penat berlari, saya muntah-muntah nanti. Selain daripada itu, saya rasa okey sahaja ingin berlakon watak apa sekalipun asal boleh ‘buat duit’.

Kalau watak Nayan dikembangkan untuk naskhah stand-alone selepas ini, adakah anda bersedia?

Saya okey kalau diberi peluang. Namun, perlu skrip yang kuat takut nanti orang menyampah pula dengan watak Nayan kalau dibikin secara berlebih-lebihan. Apapun, saya amat terhutang budi dengan Mamat Khalid. Beliau yang banyak memberi kepercayaan kepada saya dari dahulu sehingga sekarang. Kebanyakan dialog yang dilontarkan seperti iklan Joy dan Maznah merupakan idea beliau. Terima kasih juga kepada para pelakon yang terlibat dalam Hantu Kak Limah. Kerjasama kita semua berjaya mencipta sejarah perfileman tanah air.

Bagaimana dengan projek drama atau filem terbaharu anda selepas ini?

Ada satu telefilem dan filem yang bakal menyusul selepas ini. Tajuknya belum boleh saya dedahkan. Selain itu, saya banyak menerima tawaran persembahan pentas di beberapa buah negeri yang memerlukan khidmat saya sebagai pengacara.