Namun itu dahulu, kini biarpun memegang gelaran antara bintang tersohor Hollywood, Cruise sebenarnya sudah lama tidak menjejakkan kaki ke Los Angeles kerana terlalu sibuk mengembara ke seluruh dunia bagi menjalani penggambaran filem-filemnya yang sudah disusun untuk tempoh dua tahun lagi.

Selepas menjual rumah agam miliknya di Beverly Hills pada tahun 2016, Cruise menghabiskan kebanyakan masa di hotel-hotel di kota London atau di pangsapuri mewah di Florida, bukan sebuah negeri yang biasa didiami oleh selebriti seperti dirinya.

Tidak cukup dengan itu, pada zaman yang menyaksikan hampir setiap individu menggunakan media sosial sebagai platform perhubungan sesama sendiri, pemilik nama Thomas Cruise Mapother IV itu pula memilih untuk memencilkan diri daripada semua keperluan manusia masa kini.

Dunia baharu beliau ternyata sukar didekati. Beliau seperti membina benteng yang cukup tinggi bagi memastikan ruang privasinya tidak diterjah khalayak. Hanya sesekali kerjayanya dikongsi manakala soal peribadi, dikunci jauh di dalam lubuk jiwanya.

Menurut rakan pelakon Mission Impossible, Simon Pegg, lelaki itu sememangnya seorang yang sangat misteri biarpun dengan rakan-rakan rapatnya.

“Orang ramai membuat spekulasi tentang beliau dan menentukan perkara sebenar atau tidak tentang apa yang sedang terjadi dalam hidupnya kerana Cruise enggan bercerita.

“Namun, itu tidak mencetuskan apa-apa kerana beliau tetap memilih untuk berdiam dan mencari jalan keluar menerusi pembikinan filem yang sudah menjadi kehidupannya sekarang,” kata Pegg.

Kepuasan

Pada usia 56 tahun, Cruise yang mula disedari bakatnya menerusi filem Top Gun sekitar tahun 1980-an sudah berada dalam industri Hollywood selama 40 tahun.

Filem terbaharunya, Mission Impossible: Fallout (Fallout) kini hangat menggegarkan pawagam seluruh dunia, manakala menanti giliran tahun hadapan adalah sekuel paling ditunggu, Top Gun: Maverick.

Judul Fallout tersebut merupakan filem keenam dalam francais Mission Impossible yang menelan belanja sebanyak RM720 juta dan menjalani penggambaran di kota Paris, London dan diakhiri di kawasan pergunungan Kashmir.

Kini selepas seminggu membuka tirai di pawagam seluruh dunia, Fallout menunjukkan kutipan memberangsangkan apabila sudah mencecah RM619 juta secara keseluruhannya.

Selain dilihat memang akan pulang modal, banyak pemerhati dunia seni meramalkan naskhah arahan Christopher McQuarrie itu mempunyai potensi cerah mengatasi filem sekuel terdahulu iaitu Rogue Nation (2015) yang menelan bajet sebesar RM607 juta dan memberikan pulangan sebanyak RM202 juta pada minggu pertama pembukaan tayangan.

Setakat ini, pemegang rekod kutipan tertinggi bagi francais Mission Impossible adalah siri keempat, Ghost Protocol yang ditayangkan pada tahun 2011. Ia memberi pulangan pecah panggung sebanyak RM2.9 bilion dengan hanya bajet RM586 juta.

Cruise: Patah kaki

Menerusi sekuel terkini juga, Cruise ternyata memberikan sebuah persembahan pada tahap berbez.

Antara aksi lagak ngeri yang dilakukan aktor itu sekali gus menarik perhatian penonton adalah sewaktu beliau mengendalikan helikopter terbakar di kawasan bersalji di Kashmir, memandu kenderaan di jalan raya dan melompat bangunan di London yang mengakibatkan buku lalinya patah teruk.

Menurut sebuah artikel dalam majalah Vanity Fair, Fallout membuktikan bahawa lelaki yang memulakan karier seni sejak berusia 19 tahun itu tidak akan pernah tua dan kekal kelihatan seperti jejaka berusia 35 tahun selagi watak Ethan Hunt tidak mati.

Malah Cruise sendiri mengaku watak itu tidak akan mati.

“Hunt tidak akan dimatikan, tidak mungkin sama sekali kerana ia bukan sekadar karakter tetapi sebahagian daripada kehidupan saya sejak dikenali sebagai pelakon.

“Jika saya mati dulu, saya akan pastikan Ethan terus kekal dalam Mission Impossible.

“Lagipun saya tidak tahu bagaimana hendak mematikan sesuatu watak itu dengan cara paling puas hati. Bagi saya, jika mahu mematikan Hunt ia akan menjadi satu tugasan berat kerana saya mahu dia mati dengan cara paling mulia dan untuk sebab yang terbaik,” jelasnya dalam temu ramah bersama Cinema Blend baru-baru ini.

Kepada majalah People, Cruise mengaku mahu menjadi seorang pelakon sejak usianya mencecah empat tahun.

“Kemampuan untuk menghiburkan penonton, itu adalah impian saya yang paling besar,” ujarnya sewaktu melakukan promosi Fallout.

Dalam tempoh enam tahun, ini merupakan kali pertama Cruise bersetuju untuk sesi temu bual sebagai penghias muka depan majalah hiburan. Ia dilakukan sebagai langkah mempromosi filemnya.

Ironi, sejak 2012 lagi, agar sukar mendapatkan bapa kepada tiga anak ini untuk duduk berborak bagi sesi santai bersama media, sekali gus membuktikan beliau seperti mengelak untuk bercerita lanjut tentang kehidupannya sejak bergelar duda selama enam tahun ini.

Fokus

Segala fokus diperuntukkan sepenuhnya pada kerjaya dan ada sumber rapat berkata, sejak memencilkan diri daripada radar gosip Hollywood, Cruise bekerja dua kali ganda lebih keras daripada biasa.

“Saya suka mencuba perkara baharu dan mencabar diri untuk mencapai tahap baharu dalam setiap skil lagak ngeri atau teknik lakonan yang sudah dipelajari selama ini.

“Apabila bekerja, saya berikan yang terbaik. Saya tidak melakukan kerja separuh jalan, itu bukan sifat saya,” jelas Cruise dalam satu temu ramah berkenaan Fallout.

Pernah mengalami tiga kali kegagalan dalam rumah tangga ternyata memberikan impak besar buat Cruise yang menyaksikan beliau berubah menjadi individu yang dikenali peminat kini.

Sewaktu dilamun cinta dengan bekas isteri kedua, Nicole Kidman sekitar tahun 1990-an, saat tersebut merupakan zaman kemuncak kerjaya Cruise yang dalam masa sama mengangkat mereka untuk digelar pasangan Hollywood paling serasi.

Sebaik bercerai pada tahun 2001, Cruise masih tidak serik mencari kesejatian cinta sehingga bertemu Katie Holmes, seorang pelakon muda pada ketika itu yang membuatkan beliau mabuk asmara.

Sehingga kini, tindakannya melompat daripada kerusi semasa siaran langsung rancangan Oprah Winfrey pada 2005 sebagai ekspresi cinta terhadap Holmes masih menjadi antara insiden paling diingati di Hollywood.

Namun kebahagiaan pasangan yang digelar TomKat itu hanya mampu bertahan selama enam tahun dengan kelahiran seorang anak perempuan, Suri Cruise sebelum masalah mulai timbul pada penghujung 2012 sehinggalah sah bercerai pada awal 2013.

Sejak itu, tiada lagi sebarang pengumuman, cerita atau keterbukaan Cruise terhadap apa jua kejadian dalam hidupnya. Beliau mengambil pendekatan menyendiri sambil menyibukkan diri dengan lakonan.

Biarpun tidak lagi mendedahkan siapa yang kini bergelar kekasihnya atau apakah perancangan kehidupan peribadi, anak-anak iaitu Suri Cruise, Connor Cruise dan Isabella Jane Cruise tetap menjadi keutamaan pemenang Aktor Terbaik Anugerah Golden Globes 1990 itu.

Untuk rekod, Isabelle dan Connor ialah anak angkat yang diambil oleh Cruise dan Kidman pada tahun 1999 selepas mengalami beberapa siri keguguran serta kehamilan luar rahim.

“Dia sayangkan semua anaknya, tidak kira anak angkat atau anak kandung. Cruise tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai bapa biarpun sibuk bekerja.

“Apa sahaja tuduhan yang mengatakan mereka tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada Cruise adalah tidak benar kerana hanya anak-anak menjadi bukti keindahan yang terhasil daripada kekecewaan cintanya,” kata sumber rapat.

Memilih untuk melarikan diri daripada sorotan dunia glamor selepas perceraian ketiga, aktor Tom Cruise terus berjaya menghasilkan 
filem-filem hebat dunia tanpa publisiti murahan termasuk cinta.