Ada yang tidak henti memberi semangat, malah tidak ketinggalan terdapat juga netizen hebat menghamburkan kecaman negatif dengan menyatakan ibu tunggal itu tidak boleh melupakan kisah lama atau ‘move on’ terhadap kehancuran mahligai cinta yang dibina bersama bekas suami.

Ironinya, pemilik nama Rita Rudaini Mokhtar itu hanya ingin memperjuangkan hak sebagai ibu tunggal kepada dua orang cahaya mata iaitu Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaha Arjuna, 7.

Baru-baru ini, pelakon drama rantaian Sehangat Asmara itu kembali menjadi bahan percakapan apabila tampil menyatakan persetujuan berhubung cadangan kerajaan untuk mengenakan sekatan bank terhadap suami yang culas memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian.

Ekoran daripada sokongan berkenaan, netizen kembali mengaitkan Rita dan anak-anaknya dengan bekas suami. Mereka menyangka wanita berusia 42 tahun itu masih berdendam dan tidak boleh menerima kenyataan sudah berpisah.

Membuktikan dirinya tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas suami, Rita telah mengambil keputusan memuat naik sekeping gambar lama anak-anaknya bersama bekas suami.

Justeru, ikuti temu bual Kosmo! bersama Rita berkenaan alasan dirinya muat naik gambar yang disifatkan mempunyai nilai sentimental tersebut.

KOSMO!: Mengapa Rita memuat naik gambar anak-anak bersama bekas suami di Instagram baru-baru ini?

RITA RUDAINI: Sebenarnya banyak spekulasi timbul terutamanya apabila saya memuat naik gambar anak di Instagram.

Mereka menyangka saya menyekat anak-anak daripada berjumpa dengan ayah mereka. Tujuan saya muat naik gambar anak-anak dengan bekas suami walaupun tiada gambar baharu kerana hendak memberitahu, tiada masalah antara saya dengan bekas suami.

Jika Aidil hendak melawat anak-anak, saya lagi suka. Tambahan pula anak-anak semakin besar dan menunjukkan minat ke arah sukan bola sepak, jadi tidak timbul isu saya menghalang minat anak hanya kerana dendam kepada ayahnya. Saya tidak menyimpan perasaan tersebut, sebaliknya turut menubuhkan kelab bola sepak RR Cougars FC untuk mereka.

Antara sebab lain, saya juga ingin mencuba nasib, mana tahu jika Aidil mahu memberi tiket percuma untuk menonton perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2018. Saya memang tidak pernah bawa anak-anak ke stadium untuk menonton perlawanan bola sepak secara langsung. Apa salahnya, sebab ayah mereka merupakan pemain bola sepak kebangsaan, sedangkan anak-anak pula mengagungkan pemain luar negara seperti Neymar dan Cristiano Ronaldo.

Anak-anak anda tahu atau tidak ayah mereka sebenarnya seorang pemain bola sepak Malaysia?

Mereka tahu sebab saya selalu tunjuk ayah mereka jika ada perlawanan bola sepak yang melibatkan Aidil di televisyen. Ada beberapa pihak menuduh saya sudah membenci permainan bola sepak selepas bercerai, sebenarnya ia langsung tidak berlaku, malah sukan bola sepak tetap di hati sampai bila-bila.

Melihat perkongsian tersebut, anda menyatakan gambar anak-anak dan bekas suami itu mempunyai nilai sentimental, jadi boleh terangkan maksudnya?

Saya masih menyimpan gambar-gambar anak bersama ayah mereka ketika kami bercuti atau apa sahaja aktiviti dalam satu fail khas. Ini kerana ia kenangan anak-anak bersama ayah mereka ketika kami bahagia. Biarpun kisah saya dan suami sudah habis, tidak bermakna kenangan anak-anak bersama ayah mereka hilang juga, itulah nilai sentimental yang saya maksudkan.

Andai kata bekas suami bersetuju untuk memberikan tiket menonton perlawanan bola sepak, adakah anda terbuka untuk melepaskan anak-anak hanya keluar bersama ayah mereka?

Mestilah saya akan menyertai mereka kerana sejak kecil anak-anak tidak biasa dengan Aidil. Bahkan, saya tidak pernah tinggalkan anak dengan sesiapa sekalipun. Jadi, bagaimana saya ingin melepaskan anak-anak dengan orang yang sudah lama tidak berjumpa?

Sudah berapa lama anak-anak anda tidak bertemu dengan ayah mereka?

Kali terakhir mereka berjumpa adalah sebelum bekas suami berkahwin lain iaitu pada tahun 2014. Sejak itu, mereka tidak pernah berjumpa lagi. Anak-anak juga tidak pernah bertanya tentang bapa mereka, mungkin sebab sewaktu berpisah dahulu mereka terlalu kecil, ketika itu Airit Rayyan Rizqin berusia dua tahun dan Airit Qaha Arjuna pula baru lapan bulan.

Boleh jelaskan berkaitan sokongan anda terhadap cadangan kerajaan ingin mengenakan sekatan bank terhadap suami yang gagal memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak selepas perceraian?

Saya bersetuju dengan cadangan tersebut kerana ingin memperjuangkan hak saya dan anak-anak sahaja. Ketika menang dalam kes tuntutan sebelum ini pun, saya ingin tunjukkan kepada masyarakat terutamanya kaum wanita yang telah diceraikan untuk memperjuangkan hak mereka. Biarpun sebelum ini saya tahu ada sahaja pihak yang menuduh saya bersalah dan hanya inginkan duit.

Sejak bercerai dengan suami pada tahun 2012, adakah anda tidak terfikir untuk mencari pengganti?

Tidak, sebab saya sendiri terlalu sibuk menguruskan anak-anak. Hari-hari saya perlu bawa mereka ke sekolah kemudian pergi latihan bola, tiada masa untuk saya memikirkan soal pengganti hati.

Bukan bermakna saya serik dengan perkahwinan dahulu, sebaliknya saya percaya pada jodoh. Jika ditakdirkan saya berkahwin, biarlah bakal suami itu dapat menerima saya dan anak-anak.